Polis perketat kawalan di kawasan PKPD Kuala Berang 


POLIS mengawal ketat 10 laluan membabitkan tujuh lorong tikus di Felda Tersat dan Tapak Bina Kuarters TNB Kuala Berang yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) termasuk memasang kawat duri bagi memantau pergerakan keluar masuk di kawasan itu. 

Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu DSP Mohd Adli Mat Daud berkata 50 anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Hulu Terengganu ditugaskan mengawal laluan itu sejak 12.01 pagi tadi bagi memastikan pelaksanaan PKPD dipatuhi.

“Penguatkuasaan juga melibatkan pelbagai agensi termasuk anggota Pasukan Simpanan Persekutuan Wakaf Tapai, Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu dan lain-lain,” katanya kepada pemberita ketika meninjau kawasan PKPD Felda Tersat hari ini.

Beliau turut memaklumkan 650 penduduk di Felda Tersat telah selesai menjalani ujian saringan Covid-19 yang dilakukan pihak Kementerian Kesihatan.

“Kita juga akan meningkatkan pemantauan dan penguatkuasaan di seluruh Hulu Terengganu sebagai langkah berjaga-jaga memandangkan dua tempat di daerah ini telah dikenakan PKPD,” katanya. – Bernama, 4 Februari, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen