BADAN pemikir Pusat Penyelidikan Sosio Ekonomi (SERC) menurunkan unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia kepada 4% berbanding sebelumnya sebanyak 5%, susulan perintah kawalan pergerakan (PKP) kedua yang bermula pada 13 Januari.
“Dianggarkan tempoh dua minggu PKP dan PKP bersyarat akan mengurangkan pertumbuhan KDNK sebanyak 0.5 mata peratusan.
“Dan jika kita andaikan PKP/PKPB selama sebulan, ia akan menurunkan unjuran asas kami kepada 4% berbanding 5% sebelumnya pada 2021,” kata Pengarah Eksekutif SERC Lee Heng Guie dalam sidang akhbar dalam talian hari ini.
Kata Lee, unjuran ini berdasarkan jumlah jangkitan Covid-19 yang berpanjangan, peraturan lebih ketat, dasar pengembangan Belanjawan 2021, rangsangan monetari yang berterusan dan pasaran kewangan serta ketidakstabilan politik yang berterusan.
Sebaliknya, SERC berkata penstabilan global dan pemulihan kukuh disebabkan pelaksanaan program vaksinasi yang dipercepatkan dapat meningkatkan KDNK Malaysia bagi 2021 kepada 6%.
“Diandaikan juga pelaksanaan efektif rangsangan fiskal terbesar yang pernah ada (jumlah perbelanjaan sebanyak RM322.5 bilion) atau unjuran defisit KDNK sebanyak -5.4% meningkatkan pemulihan permintaan domestik lebih cepat.
“Tetapi kadar jangkitan yang tidak terkawal, yang akan mengakibatkan SOP lebih ketat, pemulihan global perlahan, dan program vaksinasi yang lemah akan menurunkan pertumbuhan Malaysia kepada 2%,” kata Lee. – 4 Februari, 2021.
Berita penuh di sini
Komen