Orang Asli Mah Meri rayu anak diberi akses pendidikan setara


Elill Easwaran

Kurang akses kepada peranti, teknologi dan Internet penghalang utama pelajar Orang Asli turut serta dalam pembelajaran sekolah dalam talian sepanjang pandemik Covid-19, kata ibu bapa. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 5 Februari, 2021.

KEKURANGAN akses kepada peranti, teknologi dan Internet terbukti menjadi penghalang utama bagi pelajar Orang Asli untuk turut serta dalam pembelajaran sekolah dalam talian sepanjang tempoh pandemik Covid-19, kata ibu bapa.

Mereka memberitahu The Malaysian Insight, anak-anak tidak mempunyai pilihan selain menghadiri kelas dalam talian yang diadakan di bilik darjah secara maya di bawah perintah kawalan pergerakan (PKP).

Pengukir kayu Orang Asli Meh Meri, Mizan bin Hasan, 43, dari Pulau Carey, berkata keluarganya hanya mempunyai satu telefon pintar yang terpaksa dikongsi oleh empat anaknya yang bersekolah.

Selain itu, beliau berkata kekurangan peranti dan aplikasi yang sesuai mengjejaskan anak-anaknya daripada menghadiri kelas maya.

“Saya menonton berita, pelajar di bandar belajar menggunakan aplikasi seperti Zoom dan saya harap anak-anak saya juga mendapat peluang seperti itu.

“Di sini kami mendapat mesej melalui WhatsApp daripada guru sekolah berhubung tugasan hari ini.

“Kadang-kadang guru akan menghantar fail video juga tetapi dengan sambungan Internet yang teruk, sukar untuk memuat turun fail tersebut.

“Orang mungkin memandang rendah pada kami tetapi pendidikan penting untuk anak-anak kami sama seperti anak-anak di bandar,” kata Mizan.

Beliau berasa tidak begitu sesuai belajar melalui WhatsApp kerana tiada yang mengawasi anak kerana beliau terpaksa keluar pagi untuk mencari sedikit pendapatan tambahan.

“Saya harap sekurang-kurangnya dapat membeli komputer riba untuk anak-anak saya, tetapi saya sendiri bergelut untuk menyediakan makanan untuk mereka kerana hampir tiada pendapatan sejak pelaksanaan PKP,” katanya.

Anak Orang Asli terpaksa keluar dari kampung untuk mendapatkan sambungan Internet bagi mengikuti kelas yang diadakan secara atas talian. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 5 Februari, 2021.

Seorang lagi pengukir Samari Abdul Rahman, 44, berkata anak-anaknya terpaksa keluar dari kampung untuk mendapatkan sambungan Internet.

“Walaupun sukar bagi anak-anak, saya berasa bersyukur kerana sekurang-kurangnya saya memiliki telefon pintar. Terdapat beberapa keluarga di kampung yang tidak mampu memilikinya.

“Ada kalanya saya meminjamkan telefon kepada anak-anak yang tidak mempunyai telefon dalam keluarga mereka.

“Saya tahu sukar bagi kami belajar dalam talian tetapi kami menghormati guru kerana mereka berusaha memberikan yang terbaik kepada anak-anak kami,” kata Samari.

Menurutnya, beliau terpaksa mengeluarkan lebih banyak wang untuk membeli data mudah alih agar anak-anaknya dapat melanjutkan pelajaran dalam talian.

Seorang lagi penduduk kampung, Rita Anak Uju, 47, berkata beliau berharap pengajaran bersemuka akan dimulakan lagi tidak lama lagi.

“Anak perempuan bongsu saya yang berusia 13 tahun tahun ini baru mendaftar ke sekolah menengah tetapi saya tidak tahu bila sesi persekolahan akan bermula.

“Saya harap ia dapat disambung secepat mungkin kerana sudah hampir sebulan beliau tidak perlu belajar.

“Sejujurnya saya tidak tahu bagaimana beliau dapat menyesuaikan diri jika kelasnya juga diadalah secara dalam talian kerana tiada sambungan Internet di sini,” kata Rita.

Kerajaan melanjutkan PKP sehingga 18 Februari di semua negeri, kecuali Sarawak.

PKP ini yang dikenali sebagai PKP 2.0 adalah yang kedua dilaksanakan selepas pusingan pertama dari pertengahan Mac hingga Mei tahun lalu.

Sesi pembelajaran kini terhad kepada kelas secara maya sepanjang tempoh PKP, kecuali pelajar yang menduduki peperiksaan yang dibenarkan hadir ke sekolah. – 5 Februari, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen