Zahid dedah Bagan Datuk hanya terima peruntukan RM100,000


Kamles Kumar

Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi mendedahkan kawasan parlimennya Bagan Datuk hanya menerima peruntukan RM100,000 bagi 2021, jumlah sama yang diterima ahli Parlimen pembangkang. – Gambar fail The Malaysian Insight, 4 Februari, 2021.

AHMAD Zahid Hamidi mendedahkan kawasan parlimennya Bagan Datuk hanya menerima peruntukan RM100,000 bagi 2021, walaupun Umno sebahagian daripada kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Presiden Umno itu berkata selain beliau, beberapa pemimpin Umno lain, termasuk Najib Razak (ahli Parlimen Pekan) menerima jumlah sama, sedangkan ahli-ahli Parlimen lain dalam PN menerima RM3.7 juta setahun.

Peruntukan RM100,000 itu tambahnya, sama dengan jumlah peruntukan yang diberi kepada ahli Parlimen pembangkang, meskipun beliau presiden parti terbesar yang menyokong Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

“Setakat ini saya terima peruntukan sebanyak RM100,000 setahun untuk tahun 2021, manakala ahli Parlimen kerajaan yang lain mendapat RM3.7 juta.

“Alhamdulillah dapat RM100,000, cukuplah untuk bahagian Bagan Datuk rasanya, bahagian paling mundur di Perak. 

“Saya ucapkan terima kasih atas peruntukan yang diberikan,” kata Zahid dalam wawancara bersama NRChannel TV malam tadi.

Tambah Zahid, selain beliau sama turut diterima Setiausaha Agung Umno Ahmad Maslan (ahli Parlimen Pontian), bekas menteri undang-undang Mohamed Nazri Abdul Aziz (Padang Rengas) dan Ahmad Jazlan Yaakub (Machang).

“Setakat ini peruntukan yang diperolehi pembangkang RM100,000 dan itulah peruntukan yang diperolehi oleh ahli Parlimen Bagan Datuk, Pontian, Pekan, Padang Rengas dan Machang.

“Mudah-mudahan terbukalah hati sesiapa yang membuat keputusan itu untuk memberikan peruntukan sama dengan mana-mana ahli Parlimen yang telah mengundi supaya Bajet 2021 diluluskan,” katanya, melahirkan rasa dikhianati selepas menyokong Belanjawan 2021.

“Kami sokong tiga kali di peringkat dasar, jawatankuasa dan bacaan kali ketiga.

“Namun hadiah yang kami dapat, alhamdulilah peruntukan RM100,000 setahun,” kata Zahid.

Pengerusi Barisan Nasional itu pada masa yang sama berkata proklamasi darurat tidak perlu untuk membendung Covid-19.

“Bukan kita mahu derhaka kepada Tuanku (Yang di-Pertuan Agong) apatah lagi tidak akur kepada titah Tuanku tetapi persoalan yang bermain di minda rakyat adalah kenapa sampai perkara itu berlaku dan tentunya beberapa kaedah lain dari segi langkah-langkah kesihatan boleh dilakukan.

“Itu pendapat rakyat, saya sebagai wakil rakyat hanya menyampaikan,” jelas Zahid. – 4 Februari, 2021.  

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen