GAMBIA, yang memfailkan kes terhadap Myanmar di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) atas tuduhan melakukan genosid ke atas Rohingya, menuntut pemimpin tentera melindungi kumpulan etnik itu.
“Kami bimbang kepimpinan tentera sama yang meminggirkan Rohingya kini berkuasa penuh ke atas pemerintahan Myanmar.
“Kami bimbang mereka akan sekali lagi melancarkan ‘operasi penghapusan’ untuk menghalau sekitar 600,000 Rohingya yang terselamat dari keganasan lalu,” katanya dalam satu kenyataan, sambil menambah negara itu mengikuti rapat situasi di Myanmar.
Sejak Ogos 2017, sekitar 740,000 etnik Rohingya melarikan diri ke Bangladesh untuk berlindung dari keganasan tentera Myanmar dan militia Buddha. Kumpulan hak asasis manusia menganggarkan ribuan etnik terbunuh.
Pada November 2019 Gambia memfailkan tuntutan di ICJ selepas mendapat sokongan 57 anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).
Gambia mendakwa Myanmar mencabul Konvensyen Genosid Pertubuhan Bangsa Bersatu 1948. Pemimpin de facto Myanmar San Suu Kyi, yang digulingkan tentera pada Isnin lalu, menafikan dakwaan Gambia.
Pada 23 Januari tahun lalu ICJ mengarahkan Myanmar mengambil langkah pencegahan menghentikan pembantaian ke atas etnik Rohingya, dan memastikan mereka yang masih berada di negara itu tidak diapa-apakan. – AFP, 4 Februari, 2021.
Komen