Usah berharap majikan beri bonus, kenaikan gaji tahun ini, kata pakar


Hailey Chung Wee Kye

Rata-rata majikan tidak akan memberi bonus, kenaikan gaji dan pengambilan aktif pekerja apabila mereka berusaha untuk menyelamatkan perniagaan yang terjejas akibat Covid-19. – Gambar fail The Malaysian Insight, 4 Februari, 2021.

BONUS, kenaikan gaji dan pengambilan aktif tidak akan ada dalam perancangan majikan tahun ini ketika mereka berusaha untuk menyelamatkan perniagaan di tengah-tengah kelembapan ekonomi akibat Covid-19, kata pakar sumber manusia dan industri.

Mereka berkata bahawa hampir semua sektor dilanda kelembapan ekonomi, mungkin dengan pengecualian dalam sektor teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) serta elektrik dan elektronik (E&E).

Mereka juga berkata bahawa secara amnya pekerja yang cekap dan boleh bekerja secara berpasukan akan dapat menjalankan tugas dengan lebih baik.

Presiden Persatuan SME Malaysia Michael Kang memberitahu The Malaysian Insight bahawa majikan akan mengenal pasti mereka yang telah menyumbang kepada pertumbuhan syarikat semasa pandemik Covid-19. 

“Perkhidmatan penting seperti pengeksport, ICT, E&E masih akan membayar bonus dan memberi kenaikan gaji,” katanya sambil memberi amaran bahawa ramai pekerja sektor lain mungkin tidak akan mendapat kenaikan gaji dan bonus.

“Mereka mungkin hilang pekerjaan.

“Beberapa kakitangan menyedari bahawa setiap orang perlu menyumbang sesuatu dalam usaha ketika wabak ini,” katanya. 

Beliau berkata perubahan sikap dan kerja berpasukan akan menjadi faktor kejayaan di samping syarikat meningkatkan kemahiran dan latihan semula (upskill and reskill).

Tyler Chin, pengasas Transform Culture, sebuah syarikat perunding pengambilan pekerja bersetuju bahawa sebahagian besar kekosongan jawatan berada dalam sektor IT.

Walaupun begitu, Chin ada juga pekerja yang bertukar meskipun berdepan risiko tinggi.

“Bakat moden masih tertumpu pada pekerjaan berdasarkan tujuan dan bahkan bersedia berhenti apabila sukar mendapat kerja.

“Ini lebih kerap berbanding sebelum pandemik dan saya rasa ia kerana orang mempunyai lebih banyak masa untuk memikirkan karier mereka,” katanya. 

Melihat trend itu Chin menyarankan kerajaan untuk melaburkan dana dan memberikan geran untuk peniaga muda yang dapat mengubah ekonomi.

“Saya fikir Malaysia Digital Economy Corporation melakukan kerja yang cemerlang dalam meningkatkan bakat Malaysia untuk menjadi lebih kompetitif dalam dunia pekerjaan moden,” katanya.

Jurulatih kerjaya berusia 26 tahun ini adalah ahli termuda dalam Lembaga Persatuan Pengambilan Malaysia dan juga telah merangkul gelaran Mentor Kerjaya termuda dalam Program Mentor Kerjaya Monash 2019.

Menurut pemerhatiannya, bonus sama ada akan dikurangkan atau tiada langsung pada tahun ini. 

Kadar pengangguran lebih tinggi

Sementara itu eksekutif sumber manusia Jane Lee Wern Hui berkata bahawa pasaran pengambilan pekerja tidak perlahan tetapi disasarkan kepada yang cekap.

“Dari perspektif saya, banyak syarikat termasuk PKS, syarikat multinasional dan syarikat swasta di Pulau Pinang masih mengambil pekerja.

“Namun ini bergantung pada calon yang berpengalaman, sementara lulusan baru akan berdepan halangan dalam mencari pekerjaan,” katanya. 

Lee yang bekerja di Mi Autobotics, sebuah syarikat kejuruteraan yang mengembangkan penyelesaian automasi, robotik dan Kecerdasan Buatan berkata bahawa sektor kejuruteraan atau IT berada di zon selamat.

Walaupun mempunyai kerja sepenuh masa, beliau mengasaskan Ninety J Project pada November lalu, sebuah perkhidmatan sukarela untuk menolong belia dalam membina kerjaya.

“Saya melakukannya selepas menerima banyak permintaan daripada pelajar universiti yang meminta pertolongan,” katanya.

Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) percaya akan ada kadar penggangguran lebih tinggi sehingga suku ketiga tahun ini kerana negara sedang menunggu keberkesanan vaksin Cobvid-19.

“Ramai majikan sedang dalam proses pembekuan pengambilan pekerja kecuali di beberapa kilang dan pembuatan PPE,” kata Pengarah Eksekutif MEF, Shamsuddin Bardan.

“Kerajaan merancang untuk mewujudkan 500,000 pekerjaan baharu dalam Belanjawan 2021 tetapi hampir satu juta peserta akan menyertai pasaran kerja tahun ini.

Shamsuddin merujuk kepada 500,000 graduan baharu yang akan bergraduan pada awal 2021 dan 500,000 lagi dijangka memasuki pasaran kerja pada akhir 2021.

Ekonomi gig telah membantu lebih 2.8 juta orang pada 2020, katanya.

Namun pekerja penghantaran makanan baru-baru ini mengatakan mereka mendapat gaji yang rendah susulan persaingan yang sengit. – 4 Februari, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen