TIGA sekeluarga termasuk pasangan suami isteri maut, apabila kereta yang mereka naikit terbabas, dalam kejadian di Jalan Sungai Sam-Dabong, Kuala Krai di Kota Bharu pagi tadi.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kelantan Supt Mohd Zamri Mohd Rowi berkata, mangsa yang maut Mohd Hafeez Ibrahim@Yusoff, 32, Surina Mohd Othman, 36, dan kakak kepada Mohd Hafeez, Rahimah, 51.
“Kemalangan berlaku sekitar 9.30 pagi tadi, ketika mereka sekeluarga dalam perjalanan dari Cabang Gemas ke Dabong dan dipercayai kenderaan Perodua Bezza yang dipandu oleh Mohd Hafeez telah terbabas sendiri semasa melalui selekoh.
“Kenderaan itu kemudiannya telah melanggar pokok getah,” katanya ketika dihubungi di Kota Bharu, hari ini.
Mohd Zamri berkata, akibat kejadian itu Surina yang duduk di tempat penumpang hadapan dan Rahimah yang duduk di belakang, meninggal dunia di tempat kejadian, dipercayai akibat cedera parah.
“Manakala Mohd Hafeez meninggal dunia semasa menerima rawatan di Klinik Kesihatan Dabong.
“Siasatan lanjut masih dijalankan dan kesemua mayat dihantar ke Hospital Sultan Ismail Petra, Kuala Krai untuk bedah siasat,” katanya.– Bernama, 3 Februari, 2021.
Komen