Pakar, kumpulan desak kerajaan bertindak bersama tangani Covid-19


Alfian Z.M. Tahir Ragananthini Vethasalam

KKM baru-baru ini berkata kelewatan pelaporan kes ke CPRC menyebabkan lonjakan kes Covid-19 dengan antaranya kes bertarikh pada 2020. – Gambar EPA, 4 Februari, 2021.

PUTRAJAYA  hilang kawalan terhadap situasi Covid-19 pada masa ini dan satu-satunya cara boleh dibuat ialah koordinasi lebih baik antara semua agensi berkaitan untuk melawan pandemik ini ke peringkat berikutnya, kata bekas menteri kesihatan, pakar dan kumpulan masyarakat sivil.

Mereka berkata kepada The Malaysian Insight wujud masalah koordinasi antara agensi dan kerajaan perlu melihat kepada pendekatan tertentu secara holistik bagi mengelak kritikan.

Kementerian Kesihatan (KKM) baru-baru ini mendedahkan berlaku kelewatan dalam melaporkan kes Covid-19 ke Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis (CPRC) yang menyebabkan berlaku lonjakan kes. Ada sebahagiannya rekod bertarikh pada 2020.

Ia berkata sistem laporan secara atas talian yang digunakan kemudahan kesihatan swasta juga sebab kepada kelewatan pelaporan kes.

Bekas timbalan menteri kesihatan Dr Lee Boon Chye berkata sepatutnya masa untuk proses pelaporan kes dilengkapkan tidak melebihi 48 jam, daripada diagnos data dalam pangkalan data.

“Jika ambil masa hingga sebulan, sudah tentu ada yang tidak kena,” katanya kepada The Malaysian Insight.

“Tidak boleh dipercayai ia boleh berlaku dalam zaman teknologi maklumat ini,” katanya.

Menjelaskan proses itu, Dr Lee berkata doktor bertugas akan perlu memaklumkan kepada pejabat kesihatan daerah dalam tempoh 24 jam jika ada kes positif dikesan.

Pejabat itu kemudian akan melakukan usaha wajar termasuk menyiasat kes indeks, sanitasi dan menjejak kontak. Data pesakit kemudian akan dihantar ke CPRC, di mana ia akan mengumpul data sebelum diumumkan oleh Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah dalam taklimat kemas kini hariannya.

“Tidak mungkin pejabat kesihatan daerah tidak mengambil langkah sewajarnya seperti kuarantin dan penjejakan kontak.

“Mungkin sebahagian tunggakan data berlaku kerana pejabat kesihatan daerah tidak menghantar data itu ke CPRC tepat pada masanya kerana kekurangan kakitangan.

“Jika kelewatan berlaku kerana makmal dan doktor yang mengarahkan ujian itu, ia lebih serius lagi kerana kelewatan itu boleh menyebabkan jangkitan berlaku lebih meluas.”                                                   

Dalam kes seperti ini tindakan tegas perlu diambil terhadap doktor atau makmal yang menahan keputusan itu, katanya.

Dr Lee berkata nampaknya kerajaan Perikatan Nasional (PN) sudah tidak mampu mengawal situasi itu, dan kerajaan perlu lebih telus untuk mendapat kepercayaan rakyat.

“Kerajaan tidak boleh membiarkan KKM melawan pandemik ini sendirian. Semua kementerian perlu membantu dalam mengawal pandemik Covid-19,” kata ahli Parlimen Gopeng itu.

“Kebanyakan menteri dalam keadaan PKP – jarang dilihat dan menyumbang apa-apa pun dalam melawan pandemik.”

Beliau berkata semua kontak perlu dikesan, disaring dan diasingkan dalam tempoh 48 jam dan jika ada masalah kekurangan tenaga kerja, kementerian boleh mengambil staf baharu termasuk lepasan graduan dan mereka yang hilang pekerjaan, untuk membantu.

Perlu juga ada jaringan kebangsaan antara agensi kerajaan, kumpulan persatuan sivil dan pemimpin masyarakat. Informasi lokasi wabak perlu dimaklumkan secara telus.

Sebagai tambahan perintah kawalan pergerakan diperketatkan perlu dikuatkuasakan di lokaliti yang tidak dapat dikawal penularannya bagi tempoh seminggu sementara prosedur operasi standard perlu dikuatkuasakan secara konsisten dan dipermudahkan. – 4 Februari, 2021.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen