TERSEKAT di luar negara akibat wabak dan tidak dapat bertemu dengan orang tersayang, rakyat Malaysia di luar negara memberikan peluang perniagaan kepada penjual hamper kerana mereka boleh menghantarnya kepada keluarga dan rakan mereka di Malaysia.
Peniaga hamper memberitahu The Malaysian Insight, tempahan dari luar negara meningkat menjelang Tahun Baharu Cina, yang akan diraikan pada 12 dan 13 Februari.
Nick Lin Yoke Hoong, pengurus Xin Yi Hamper, berkata mereka menyediakan perkhidmatan bakul hamper “semua dalam satu” yang turut merangkumi penulisan kad dan penghantaran.
“Penduduk luar negeri akan meminta kami menulis doa dan harapan kepada ibu bapa, dengan mesej bahawa mereka tidak dapat pulang berjumpa keluarga, dengan harapan mereka akan bertemu semula selepas wabak beransur pulih,” kata Lin.
Sebilangan besar pesanan dalam talian dari luar negara adalah untuk ibu bapa dan ahli keluarga, tambahnya.
Harga bakul hamper boleh dibeli dengan harga sekitar RM100 atau kurang. Ia juga akan jadi lebih mahal bergantung kepada kandungan isinya.
Walaupun menerima tempahan yang banyak dari luar negara, pesanan keseluruhan masih menurun sebanyak 50% tahun ini, kerana permintaan tempatan berkurangan, kata Lin.
“Pada tahun-tahun sebelumnya, banyak syarikat akan mengirim hamper besar kepada pelanggan atau syarikat lain, tetapi pesanan pada tahun ini menurun sehingga separuh.
“Kami faham, kerana wabak ini menyebabkan banyak orang hilang sumber pendapatan atau perniagaan mereka.”
Xin Yi Hamper diasaskan pada 2008 dengan menjual hamper hadiah Tahun Baharu Cina di pusat membeli-belah.
Selama bertahun-tahun, jumlah penjualan dari gerai fizikalnya jauh lebih tinggi berbanding jualan dalam talian, kerana trafik di pusat membeli-belah adalah tinggi.
Namun dengan berkurangnya orang mengunjungi pusat membeli-belah akibat PKP dan semua orang perlu tinggal di rumah sepanjang wabak, penurunan jualan sememangnya menjad norma baharu perniagaan.
“Kami pada mulanya bimbang kehilangan pelanggan utama kami, yang merangkumi pelancong Singapura dan juga rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura akibat penutupan sempadan Malaysia-Singapura kepada pelancong.
“Nasib baik kami memiliki rangkaian. Jadi, perniagaan secara keseluruhan hanya menurun sekitar 30%, ia boleh dianggap baik ketika banyak perniagaan langsung tidak memperoleh keuntungan.”
Xin Yi Hamper juga tidak terlalu berharap dan fokus untuk membuat keuntungan kecil kerana keadaan ekonomi semasa, tambah Lin lagi. – 3 Februari, 2021.
Berita penuh di sini
Komen