Benarkan pemohon baharu untuk bantuan GKP tambahan


PERDANA menteri mengumumkan bantuan Geran Khas Prihatin (GKP) Tambahan di bawah pakej Permai.

Melalui inisiatif ini, PKS mikro seperti gerai makanan, kedai gunting rambut, dan penjaja kecil akan menerima bantuan RM1,000 untuk membantu mereka mengharungi tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP) ini.

Namun, maklumat tambahan yang diumumkan oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) menyatakan GKP Tambahan hanya akan diberikan kepada penerima yang telah diluluskan di bawah GKP1.0 dan GKP2.0 pada tahun lepas.

Perkara ini adalah tidak adil kerana dua kumpulan besar akan terlepas daripada menerima bantuan GKP Tambahan ini.

Pertama, banyak peniaga kecil tidak dapat memohon untuk GKP pada tahun lepas kerana salah satu syarat permohonan GKP ialah perniagaan mereka perlu ditubuhkan dan didaftar sebelum 31 Ogos 2020.

Ini bermakna perniagaan kecil yang ditubuhkan dan didaftar selepas tarikh tersebut tidak diluluskan, dan mereka sekali lagi tidak akan menerima bantuan GKP Tambahan ini.

Sebagai contoh, baru-baru ini saya bertemu dengan Encik Tan yang sebelum ini bekerja sebagai seorang tukang masak di sebuah restoran di Melaka. 

Beliau kehilangan kerja pada November 2020 kerana restoran tersebut telah tutup. Beliau cuba mencari kerja lain tetapi tidak berjaya.

Encik Tan kemudiannya mula berniaga dengan membuka sebuah gerai makanan kecil di sebuah medan selera.

Namun, pendapatan daripada perniagaannya kurang memberangsangkan kerana PKP. 

Di bawah syarat GKP Tambahan, beliau tidak akan menerima bantuan RM1,000 tersebut kerana perniagaan beliau didaftarkan selepas 31 Ogos 202.

Kedua, terdapat sebilangan peniaga yang layak menerima GKP pada tahun lepas tetapi tidak sempat mengemukakan permohonan atas sebab-sebab tertentu.

Contohnya, pejabat saya menerima sebuah rayuan daripada Encik Mazlan. Beliau merupakan seorang penjaja cenderamata di kawasan pelancongan di Melaka. 

Beliau kesal kerana terlepas pandang terhadap tarikh tutup permohonan GKP pada tahun lepas walaupun beliau memenuhi semua syarat kelayakan.

Encik Mazlan sedang bertungkus-lumus menyara keluarga beliau kerana sektor pelancongan teruk terjejas oleh PKP.

Walaupun beliau cuai kerana tidak mengemukakan permohonan GKP pada tahun lepas, beliau tidak wajar dihukum untuk kali kedua dalam isu GKP tambahan ini.

Oleh itu, saya menyeru supaya pihak kerajaan mengkaji semula kriteria untuk bantuan GKP Tambahan.

Khususnya, kerajaan wajar membenarkan peniaga baharu yang mendaftar selepas 31 Ogos 2020 dan mereka yang tercicir pada GKP tahun lepas untuk mengemukakan permohonan baharu untuk GKP Tambahan.

Perniagaan kecil, terutamanya mereka yang dikategorikan sebagai bekerja sendiri, adalah antara golongan paling teruk terkesan oleh PKP dan keadaan ekonomi yang masih tidak menentu. 

Kerajaan harus memastikan segala bantuan sampai kepada mereka secara efektif dan adil. – 2 Februari, 2021.

*Khoo Poay Tiong, ahli Parlimen Kota Melaka.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen