Pejuang pertimbang ambil alih parti nyamuk, kata sumber


Kamles Kumar

Pengerusi Pejuang Dr Mahathir Mohamad berkata terdapat campur tangan politik yang menyebabkan permohonan partinya ditolak oleh RoS. – Gambar fail The Malaysian Insight, 2 Februari, 2021.

PEJUANG akan mengambil alih pendaftaran parti lain jika Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) tidak meluluskan permohonannya sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), kata sumber dalam parti.

Ini adalah salah satu pilihan yang dimiliki parti serpihan Bersatu, pimpinan Dr Mahathir Mohamad untuk bertanding dalam pilihan raya akan datang. Pilihan lain adalah bergabung dengan parti lain.

“Kami terbuka untuk apa sahaja buat masa ini. Jika pendaftaran kami tidak lulus, kami mungkin memilih untuk menjenamakan semula parti lain,” kata seorang pemimpin Pejuang yang bersetuju bercakap dengan syarat tidak disebutkan namanya.

Awal bulan ini, RoS menolak permohonan Pejuang tanpa memberikan alasan khusus. Parti tersebut telah mengambil tindakan undang-undang.

Pengerusi Pejuang Dr Mahathir menyalahkan campur tangan Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainuddin, yang juga setiausaha agung Bersatu.

Dr Mahathir menubuhkan Pejuang selepas disingkirkan daripada Bersatu, yang diasaskannya pada 2016 dan merupakan pengerusi parti itu. 

Beliau meninggalkan Bersatu selepas perdana menteri sekarang Muhyiddin Yassin membawa parti itu keluar daripada gabungan Pakatan Harapan (PH) pada Februari tahun lalu.

Selain Pejuang, bekas ketua Pemuda Bersatu, Syed Saddiq Abdul Rahman turut menubuhkan sebuah parti belia yang dikenali sebagai Muda, turut ditolak permohonannya oleh RoS.

Pejuang dan Muda mendakwa tindakan RoS bermotifkan politik dan mendesak semakan kehakiman terhadap keputusan tersebut.

Susulan itu, timbul spekulasi Pejuang mungkin mengambil alih pendaftaran parti kecil, Kongres Muslim India Malaysia (Kimma).

Turut menjadi spekulasi adalah Pejuang mungkin akan bertanding pada PRU15 dengan menggunakan logo Amanah. Tiada khabar angin yang menunjukkan perkembangan selanjutnya.

Bagaimanapun, pilihan ini adalah yang terbaik bagi Pejuang, kerana tindakan undang-undang terhadap RoS mungkin hanya sia-sia, kata Felo Kanan Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura, Dr Oh Ei Sun.

Penganalisis politik itu berkata Akta Pertubuhan, yang dijadikan panduan oleh RoS, akan digunakan untuk mempertahankan agensi kerajaan itu.

“Saya fikir jalan undang-undang agak sukar. Akta Pertubuhan tidak membenarkan semakan kehakiman terhadap keputusan RoS,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Oh berkata Pejuang dan Muda mungkin boleh mempertimbangkan penggabungan dengan parti lain atau merombak parti yang ada tetapi tidak aktif.

“Mereka boleh bertanding sebagai calon bebas yang diselaraskan dengan menggunakan logo yang sama atau boleh bertanding di bawah logo parti lain. Mereka juga boleh mengambil alih parti lain. Ada banyak parti tidak aktif,” tambahnya.

Profesor Madya Universiti Malaya, Awang Azman Awang Pawi juga bersetuju yang tindakan undang-undang tidak akan membawa Pejuang dan Muda ke mana-mana.

Ini kerana RoS menolak permohonan mereka dengan alasan politik, kata pensyarah kajian Melayu dan penganalisis politik itu.

“Ini jelas kerana politik mereka tidak disetujui. Jadi mereka harus menggunakan pilihan lain. “

Pengambilalihan parti adalah perkara biasa di Malaysia dan pernah dilakukan sebelum ini. Warisan, Amanah dan PKR adalah beberapa contoh, tambah Awang Azman.

“Mereka boleh mengambil alih parti yang tidak aktif. Mereka hanya perlu mengadakan perhimpunan agung tahunan untuk menukar nama dan perlembagaan. Ini pernah dilakukan pada masa lalu dengan PKR, Warisan dan Amanah,” katanya.

PKR pada 1999 mengambil alih sebuah parti kecil yang tidak aktif, Ikatan Masyarakat Islam Malaysia dan menjenamakannya semula menjadi Parti Keadilan Nasional sebelum bergabung dengan Parti Rakyat Malaysia pada 2002.

Pada 2016, Warisan dibentuk oleh presiden parti Shafie Apdal ketika beliau mengambil alih Parti Pembangunan Warisan Sabah. 

Amanah pada 2015 juga mengambil alih Parti Pekerja Malaysia ketika sekumpulan pemimpin keluar daripada PAS.

Profesor Pengajian Asia Universiti Tasmania, James Chin berkata, daripada bekerjasama dengan parti lain, Pejuang dan Muda harus menjenamakan semula parti lain untuk mengelakkan perbalahan lebih jauh dalam blok pembangkang. Pejuang dan Muda bukan sebahagian daripada gabungan PH.

“Jika mereka memilih untuk bertanding menggunakan logo parti lain, seperti Pejuang menggunakan logo Amanah, langkah itu mungkin menimbulkan rasa tidak senang di antara parti sekutu yang lain,” katanya.

Awang Azman bersetuju dengan ini dan berkata parti PH lain seperti DAP dan PKR kemungkinan tidak bersetuju Pejuang bertanding melawan Amanah.

“Jika mereka bekerjasama, parti lain akan berasa tidak senang terutama Presiden PKR Anwar Ibrahim,” katanya merujuk kepada perseteruan antara Dr Mahathir dan Anwar, yang juga pengerusi PH. – 2 Februari, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen