Penulis rugi lebih RM24,000 ditipu sindiket menyamar kakitangan LHDN


SEORANG penulis artikel kerugian RM24,400 akibat ditipu sindiket “Macau Scam”, yang menyamar sebagai kakitangan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), dengan mendakwa nama mangsa didaftarkan atas satu syarikat yang mempunyai hutang tertunggak lebih RM38,000.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Melaka, Supt E Sundra Rajan berkata, lelaki berumur 25 tahun yang menetap di Alor Gajah itu, menerima panggilan telefon daripada individu sindiket terbabit, pada 30 Januari lepas.

“Mangsa dipercayai menafikan dakwaan tersebut bagaimanapun taliannya disambungkan kepada individu yang kononnya pegawai polis dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang. Mangsa turut dimaklumkan terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah dan pengubahan wang haram,” katanya dalam kenyataan di Melaka hari ini.

Beliau berkata mangsa yang kemudian percaya dengan kata-kata individu terbabit, telah mengikuti arahannya dengan mengisi butiran akaun bank beserta nombor pin di sebuah aplikasi “MY Bank Negara”.

Katanya selepas mangsa selesai mengisi butiran akaun bank, barulah dia sedar dan berasa terpedaya sebelum menghubungi pihak bank serta dimaklumkan bahawa terdapat pengeluaran wang berjumlah RM24,400 daripada akaun bank miliknya.

Menurut beliau mangsa membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Alor Gajah pada Sabtu lepas dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan, atas kesalahan menipu.

“Justeru, orang ramai dinasihatkan agar tidak mudah percaya dengan individu yang menyamar sebagai kakitangan LHDN atau mana-mana pihak yang diragui,” tambahnya. – Bernama, 1 Februari, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen