PERSATUAN Pengguna Pulau Pinang (CAP) amat terkejut dengan kenyataan yang diberikan oleh Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob yang berkata pihak pengurusan kawasan kediaman dan kondominium dibenarkan menjadikan ujian swab Covid-19 satu keperluan diwajibkan untuk penyewa, terutama sekali warga asing sebelum mereka dibenarkan memasuki premis.
-2.jpg)
Akta Pengurusan Strata (SMA) 2013 tiada peruntukan membenarkan badan pengurusan bersama atau perbadanan pengurusan memaksa penghuni menyerahkan hasil ujian swab mereka atau menghalang mereka jika gagal untuk mematuhinya.
Kenyataan yang menyasarkan orang asing itu adalah tidak bijak terutamanya apabila ia datang daripada seorang menteri, kerana ia boleh mencetuskan serangan xenofobia terhadap pekerja asing yang telah membuat sumbangan besar kepada pertumbuhan ekonomi kita.
Lebih-lebih lagi, apabila beliau menyatakan “kondominium”, adakah ia termasuk kakitangan pengurusan asing, pakar dan penyelidik.
Jika beliau merujuk kepada pekerja asing kilang yang ditempatkan di flat kos rendah maka kerajaan perlu dipersalahkan kerana ketika keadaan yang lebih baik kerajaan tidak memastikan penginapan sempurna untuk mereka.
Ia dibiarkan kepada majikan untuk mengisi pekerja ini di unit flat dengan penuh sesak serta keadaan tidak bersih. Memaksimumkan keuntungan merupakan objektif utama majikan ini dan kerajaan tidak boleh mengabaikannya.
Walaupun situasi buruk itu sudah dilaporkan kepada pihak berkuasa sejak bertahun-tahun, antara yang terbaharu ialah oleh Ethical Trading Initiative pada 2019, masalahnya masih kekal.
Kerajaan mengarahkan majikan supaya memastikan semua pekerja asing mereka menjalani pemeriksaan Covid-19 mandatori bermula 2021.
Kami ingin bertanya jika hasil ujian swab yang dilakukan sebulan itu masih sah atau jika mereka perlu mengambil ujian swab setiap dua minggu?
Andaikan pihak pengurusan hartanah memaksa pekerja asing menunjukkan hasil ujian swab Covid-19, hampir tiada seorang pun daripada pekerja ini mampu menjalani ujian jika majikan tidak mahu membayar untuk mereka.
Pekerja asing tidak seharusnya dijadikan kambing hitam bagi situasi Covid-19 yang semakin buruk.
Jelas situasi pandemik semasa yang sangat buruk ini berlaku selepas pilihan raya Sabah pada 26 September tahun lepas, dan apabila perjalanan rentas daerah dan negeri dibenarkan pada 7 Disember 2020.
Bahkan, adakah itu bermakna jika seseorang itu tidak mampu untuk menunjukkan hasil ujian swab terpaksa tidur di jalanan tidak kira sama ada mereka dijangkiti atau tidak?
Kami menggesa pihak berkuasa supaya mencari penyelesaian rasional untuk mengekang penularan pandemik dan pada masa yang sama memastikan orang asing tidak menjadi mangsa. – 1 Februari, 2021.
* Mohideen Abdul Kader, presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang.
* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.
Komen