BEKAS pengerusi Felda Mohd Isa Abdul Samad akan mengetahui nasibnya berhubung sembilan pertuduhan rasuah berjumlah RM3 juta berkaitan pembelian Merdeka Palace Hotel & Suites (MPHS) di Kuching, Sarawak yang dihadapinya, pada Rabu ini (3 Februari).
Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali akan memutuskan sama ada Isa yang juga bekas menteri besar Negeri Sembilan, bersalah atas pertuduhan itu atau membebaskannya.
Nazlan dijangka menyampaikan keputusannya pada 9.30 pagi.
Isa, 71, didakwa atas sembilan pertuduhan menerima suapan untuk dirinya berjumlah RM3,090,000 daripada Ikhwan Zaidel, iaitu Ahli Lembaga Pengarah Gegasan Abadi Properties Sdn Bhd (GAPSB), menerusi bekas pegawai politik khas beliau, Muhammad Zahid Md Arip, sebagai tanda terima kasih kerana membantu meluluskan pembelian hotel oleh Felda Investment Corporation Sdn Bhd (FICSB) pada harga RM160 juta.
Semua kesalahan itu didakwa dilakukan di Tingkat 49, Menara Felda, Platinum Park, No. 11, Persiaran KLCC di Kuala Lumpur, antara 21 Julai 2014 dan 11 Disember 2015.
Pertuduhan menurut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Perbicaraan bermula pada 8 Okt 2019 dengan pihak pendakwaan memanggil 22 saksi termasuk bekas ketua pengarah Felda Hanapi Suhada, bekas ketua pegawai eksekutif FICSB Mohd Zaid Abdul Jalil, Ikhwan dan Zahid.
Pada 16 Jun lepas, Nazlan memerintahkan Isa membela diri atas sembilan pertuduhan itu selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya mengemukakan bukti kukuh yang menepati setiap inti pati kesalahan menerima suapan menurut Seksyen 16(a) (A) Akta SPRM.
Hakim bagaimanapun melepaskan dan membebaskan Isa daripada satu pertuduhan pecah amanah (CBT) berhubung pembelian hotel itu tanpa kelulusan Lembaga Pengarah Felda selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadapnya.
Isa memilih untuk memberi keterangan secara bersumpah dari tempat duduk saksi dan prosiding pembelaannya bermula pada 17 Ogos tahun lepas.
Dalam keterangannya, Isa menafikan menerima RM3 juta menerusi sembilan transaksi daripada Zahid berhubung pembelian MPHS pada 2014.
“Saya tidak pernah mengarahkan Zahid meminta Haji Ikhwan (Ikhwan Zaidel) untuk memberikan sebarang ganjaran kepada saya kerana membantu meluluskan pembelian MPHS,” katanya.
Pada 3 September tahun lepas, pasukan pembelaan Isa menutup kes mereka selepas memanggil enam saksi termasuk bekas setiausahanya Zuraida Ariffin@Shaari serta bekas pegawai khas beliau Kamar Bashah Shariff bagi memberi keterangan dengan Isa dipanggil menjadi saksi pertama.
Pada 24 Disember tahun lepas, dalam hujah di akhir kes pembelaan, peguam Salehuddin Saidin yang mewakili Isa berkata wang RM3 juta itu ialah untuk Zahid dan kroninya bukan untuk Isa.
Timbalan Pendakwa Raya Afzainizam Abdul Aziz pula menghujahkan bahawa keterangan Zuraida menunjukkan Zahid bebas memasuki bilik pejabat Isa tanpa memerlukan kebenaran sesiapa dan kehadirannya di bilik tertuduh juga tidak direkodkan oleh Zuraida.
“Ini cukup untuk membuktikan Zahid ada akses kepada pejabat tertuduh dan beliau boleh memasuki bilik pejabat tertuduh untuk menyerahkan wang daripada Ikhwan seperti yang beliau nyatakan dalam keterangannya. Ini juga jelas menunjukkan Zuraida tidak nampak Zahid menyerahkan wang itu kepada tertuduh,” katanya. – Bernama, 1 Februari, 2021.
Komen