PKPD dilaksana di penjara Simpang Renggam 


Elill Easwaran

KKM telah melakukan 198 ujian saringan dan dari jumlah tersebut, 108 kes positif Covid-19 telah direkodkan di Penjara Simpang Renggam. – Gambar fail The Malaysian Insight, 31 Januari, 2020.

PENJARA Simpang Renggam di Johor dan pegawainya akan berada di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) mulai esok hingga 14 Februari, kata Menteri Kanan Ismail Sabri Yaakob.

“Pada 29 Januari, Kementerian Kesihatan (KKM) telah melakukan 198 ujian saringan dan dari jumlah tersebut, 108 kes positif Covid-19 telah direkodkan melibatkan 100 tahanan, enam kakitangan dan dua orang kontak rapat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Johor, seperti negeri lain kecuali Sarawak, kini berada di bawah PKP.

Bagaimanapun, PKPD di penjara itu akan membenarkan Kementerian Kesihatan melaksanakan pemeriksaan saringan terhadap semua tahanan, kakitangan dan kontak rapat, kata Ismail Sabri.

Sementara itu, kata beliau lagi, 578 individu turut ditangkap kerana ingkar PKP semalam dan daripada jumlah tersebut, 525 orang dikompaun dan 53 lagi direman.

Kesalahan yang dilakukan termasuk tidak melakukan penjarakan fizikal (108), perjalanan merentas daerah/negeri tanpa kebenaran (90), tidak memakai pelitup muka (78), gagal menyediakan alat untuk rekod butiran pelanggan (56), premis yang beroperasi melebihi waktu yang dibenarkan atau tanpa kebenaran (51).

Melalui Op Benteng yang melibatkan polis, angkatan bersenjata, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia dan Agensi Keselamatan Sempadan Malaysia, Ismail Sabri berkata 40 pendatang tanpa izin turut ditahan, dan satu bot serta satu kenderaan darat disita.

Beliau turut berkata 8,028 pekerja asing telah menjalani pemeriksaan semalam, dan 47 daripada mereka disahkan positif Covid-19. – 31 Januari, 2021.


 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen