Kesimpulan koroner membingungkan tentang kematian Adib, kata Tommy


The Malaysian Insight

Bekas Peguam Negara Tommy Thomas berkata bahawa beberapa unit polis melakukan siasatan menyeluruh mengenai kematian lelaki berusia 24 tahun itu selepas rusuhan di sebuah kuil di Seafield pada November 2018. – Gambar fail The Malaysian Insight, 31 Januari, 2021.

KEPUTUSAN mahkamah koroner berhubung kematian anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim yang menyimpulkan ia adalah tindakan jenayah oleh dua atau tiga orang disifatkan sebagai keputusan membingungkan ketika siasatan terperinci polis tidak dapat menyimpulkan sedemikian.

Bekas Peguam Negara Tommy Thomas berkata bahawa beberapa unit polis melakukan siasatan menyeluruh mengenai kematian lelaki berusia 24 tahun itu selepas rusuhan di sebuah kuil di Seafield pada November 2018.

Polis menafikan wujudnya perancangan jahat. Kecederaan Adib diputuskan berpunca daripada jentera bomba yang berundur ke belakang, mendorong kenderaan yang dipandu Adib ke belakang.

Adib kemudian cuba masuk semula ke dalam kenderaan ketika dia tersepit. Ini diputuskan sebagai kemalangan dan polis tidak menahan orang kerana tidak ada unsur jenayah dalam kemalangan tersebut, kata Thomas dalam buku terbarunya.

Di dalam buku itu, Tommy meninjau secara terperinci salah satu isu utama yang menjadi fokus utama ketika beliau menjadi peguam negara.

Tiga minggu selepas kematian Adib, orang ramai mula menuntut bela atas kematian Adib. Thomas berkata bahawa sentimen itu dipicu unsur perkauman yang “menuduh tanpa bukti sama sekali bahawa orang India telah membunuh Adib”.

Dengan latar belakang ini, beliau memutuskan untuk memerintahkan siasatan kematian tersebut, dengan harapan siasatan yang telus dapat memuaskan orang ramai. Namun golongan berhaluan kanan tidak menyambut baik keputusan beliau tersebut.

Pada akhir September 2019, koroner mengeluarkan penemuannya bahawa dua atau tiga orang telah menyebabkan kematian Adib.

“Sangat membingungkan apabila koroner boleh dapat kesimpulan ini, sedangkan polis, dengan pengalaman, kepakaran, tenaga kerja dan sumber daya mereka, tidak boleh melakukannya.

“Koroner juga dilihat begitu spesifik: dua atau tiga orang. Mengapa tidak seorang? Mengapa tidak lima atau lebih?”, Tulis Tommy Thomas dalam memoirnya yang bertajuk, My Story: Justice in the Wilderness.

Pegawai-pegawainya dari Pejabat Peguam Negara meminta beliau untuk mengemukakan semak banding atas penemuan koroner. Namun beliau memutuskan untuk tidak mengambil jalan tersebut kerana elemen utama keputusan koroner adalah polis dapat meneruskan siasatan terhadap kejadian tersebut.

Pada bulan Jun, polis berkata bahawa siasatan yang dilakukan belum menemui perkara baru.

Pada bulan Ogos tahun lalu, Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador berkata bahawa cadangan untuk siasatan kedua mengenai kematian anggota bomba sedang menunggu persetujuan Peguam Negara Idrus Harun.

Thomas berkata, kes Adib menggambarkan cabaran perkauman yang selalu dihadapi kerajaan Pakatan Harapan selepas Pilihan Raya Umum ke-14. – 31 Januari, 2021.
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen