Ancaman di Bukit Batu Kapur, umpama ledakan gunung berapi menanti masa


KEINDAHAN semula jadi bukit batu kapur amat jelas dilihat di Batu Caves. Tempat ini adalah salah satu tarikan pelancongan paling popular di Malaysia. Batu kapur yang membentuk Batu Caves dikatakan berusia sekitar 400 juta tahun, dan keunikannya terbentuk dari larutan semula jadi karbonat oleh air (terutamanya, air hujan).

Apabila kita menuju ke Utara Semenanjung, melalui Negeri Perak, kita akan dapat menyaksikan banyak bukit batu kapur yang tersergam indah. Kehijauan  bukit yang memukau dan gua batu kapur yang unik dapat diamati, di antaranya terbentuk sepanjang puluhan ribu tahun.

Walau bagaimanapun, kadangkala di sebalik kecantikan terdapat ancamannya. Berikutan runtuhan bukit batu kapur pada bulan November tahun lalu, seorang ahli geomorfologi telah membuat kenyataan di media bahawa hujan boleh menyebabkan penghakisan batu secara semulajadi dan boleh melemahkan struktur dinding batu kapur. Seperti yang telah diketengahkan beberapa kali oleh para pakar sebelum ini, bukit bukau tersergam indah yang juga merupakan habitat semula jadi bagi sesetengah spesis flora dan fauna, boleh membawa ancaman kepada manusia dan harta benda. Ancaman ini disebabkan oleh struktur bukit batu kapur yang mengandungi terlalu banyak sambungan serta rekahan di permukaannya.

Bukit batu kapur sangat sinonim dengan Perak, khususnya di persekitaran Ipoh. Di antara bukit batu kapur di Lembah Kinta adalah Gunung Rapat, Gunung Datok, Gunung Lang, Gunung Paniang, Gua Kandu, Gunung Tambun, Gunung Panjang, Gunung Kanthan dan Gua Tempurung.  Dalam konteks risiko, lokasi bukit-bukit ini yang samada berdekatan dengan jalan raya, kawasan perumahan dan pembangunan, kawasan tarikan pelancongan atau juga melibatkan struktur yang telah dibina (samada secara sah atau tidak sah) di dalam gua atau di kaki bukit untuk pelbagai tujuan, merupakan perkara yang merisaukan. Tambahan lagi jika struktur yang dibina mempunyai penghuni.

Kejadian tragis yang disebutkan sebelum ini adalah tragedi tanah runtuh di tempat peranginan Banjaran Hotsprings Retreat, pada bulan November 2020. Tragedi ini telah meragut nyawa dua pengunjung di salah sebuah vila di sana. Selepas kejadian, Jabatan Mineral dan Geosains Perak telah membuat kenyataan bahawa hujan lebat telah melemahkan lapisan tanah di permukaan dinding batu kapur. Ini telah mengakibatkan struktur batu kapur runtuh dan menghempap vila penginapan kedua mangsa.

Kejadian “Banjaran Hotsprings” ini menjadi satu kejutan kepada kami sekeluarga kerana kami telah merancang untuk menginap di sana setelah sekian lama berada di rumah akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Alhamdulillah, perancangan kami terpaksa ditunda kerana dua ahli keluarga kami telah terdedah kepada mangsa Covid-19 yang disahkan positif. Berikutan tragedi ini dan laporan dari pelbagai media, saya terdetik untuk membuat penyelidikan lanjut mengenai tragedi-tragedi yang melibatkan bukit batu kapur.

Maklumat yang saya dapati dari penyelidikan amat mengejutkan. Sekian lama, pakar-pakar telah memberi pendapat bahawa bukit batu kapur di kawasan tropika kebanyakkanya membentuk permukaan sisi curam akibat runtuhan semula jadi. Proses ini dipercepatkan lagi sekiranya terdapat larutan (seperti air hujan) di kaki bukit. Apabila air hujan mengalir dalam celah-celah rekahan  pelarutan akan berlaku secara semulajadi. Ini akan meluaskan lagi rekahan-rekahan antara batu dan akhirnya bakal mencetuskan runtuhan batu.

Saya juga dapati sepanjang beberapa tahun, hampir 20 kes runtuhan batu kapur semulajadi telah dilaporkan di sekitar Ipoh, termasuk kejadian terbaharu di Banjaran Hotsprings. Tragedi yang paling dahsyat berlaku pada tahun 1973 di Gunung Cheroh, yang telah mengorbankan 42 orang. Insiden di Gua Perak pada tahun 2009 juga menyebabkan kematian, kecederaan dan kerosakan harta benda. Malangnya, laporan media tentang tragedi Banjaran Hotsprings cuma disiarkan pada minggu kejadian tersebut berlaku dan kini terus dilupakan begitu sahaja. Seperti tragedi-tragedi sebelum ini, kehilangan nyawa kedua-dua pengunjung Banjaran Hotsprings itu tidak sepatutnya dilupakan dan kisah kejadian ini tidak seharusnya dibiarkan pupus begitu sahaja.

Selama bertahun insiden runtuhan batu kapur telah dilaporkan dan pelbagai maklumat telah dikongsi oleh pakar serta penyelidik, tentang risiko bencana semulajadi bukit batu kapur. Memandangkan perkara ini, saya amat harapkan  insiden terbaharu di Banjaran Hotsprings ini akan ‘memaksa’ Kerajaan dan pihak berkuasa Negeri Perak untuk mengambil tindakan yang sewajarnya. Sekadar memberi arahan kepada jabatan yang berkenaan untuk memantau setiap bukit batu kapur yang berisiko, terutamanya yang terletak berhampiran kawasan perumahan, mungkin tidak mencukupi. Pembinaan rumah, perkampungan, kuil dan struktur lain di gua atau di kaki bukit batu kapur sepatutnya tidak diluluskan dari awal lagi. Walaupun terdapat struktur yang dibina secara haram, apabila pihak berkuasa mengetahui atau mendapat maklumat tentang struktur haram ini, tindakan wajib diambil untuk mengosongkan struktur dan kawasan berkenaan daripada dihuni atau dikunjung. Alasan bahawa kawasan berkenaan telah diduduki selama puluhan tahun tidak boleh diterima dan tidak seharusnya dibiarkan berterusan!

Saya sedar, mungkin terdapat banyak lagi bukit batu kapur yang berisiko tinggi di seluruh negara. Tetapi tumpuan saya buat masa ini, adalah pada kawasan di persekitaran Ipoh kerana banyak tragedi yang telah berlaku di daerah ini. Malah, keluarga kami nyaris terlibat dalam tragedi terbaharu di Banjaran Hotsprings. Sampai bila harus kita menunggu tindakan yang lebih tegas diambil untuk memastikan penghuni di kawasan risiko bukit batu kapur dipindahkan? Wajarkah Kerajaan memberi terlalu banyak kelonggaran kepada mereka yang membina dan menghuni struktur haram di kaki bukit atau dalam gua bukit batu kapur dengan alasan mereka telah menghuni tempat berkenaan selama bertahun lamanya? Adakah Kerajaan terlalu risau kehilangan ‘undi’ sekiranya tindakan tegas diambil? Sudah pasti tindakan tegas yang bakal menyelamatkan nyawa, jauh lebih penting dari apa jua sekalipun.

*Adam Malek adalah pembaca The Malaysian Insight


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen