Tak perlu ujian calitan untuk masuk, kata pengurusan kondo


Mohd Farhan Darwis

Tiada keperluan mewajibkan ujian calitan Covid-19 ke atas pelawat atau warganegara asing yang memasuki premis. – Gambar fail The Malaysian Insight, 31 Januari, 2021.

TIADA keperluan untuk mewajibkan ujian calitan Covid-19 ke atas pelawat atau warganegara asing yang memasuki premis, kata beberapa pengerusi jawatankuasa pengurusan bangunan kediaman.

Mereka berpendapat langkah itu hanya perlu dilaksanakan sekiranya diwajibkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) sebagai sebahagian daripada prosedur operasi standard (SOP).

Salah seorang pemimpin badan pengurusan bersama (JMB) ini memberitahu The Malaysian Insight, mereka menganggapnya sebagai satu saranan sahaja dari pihak MKN.

“Pihak pengurusan mematuhi arahan dan SOP daripada pihak berkuasa, daripada larangan kepada pelawat memasuki kawasan bangunan sehingga pemakaian pelitup muka.

“Ujian calitan tidak dinyatakan. Jadi apa yang kita buat adalah atas saranan MKN saja,” katanya.

Beliau yang mahu dikenali dengan nama Amin berkata, mereka juga melihat ujian calitan boleh dilaksanakan sekiranya penduduk berasa terancam ke atas tahap keselamatan dan kesihatan.

“Ujian calitan itu dibuat atas inisiatif pihak pengurusan bangunan, seperti kami tidak melihat risiko yang memerlukan pelawat diwajibkan untuk membuat ujian.

“Tetapi mereka perlu mematuhi SOP standard yang ditetapkan sebelum kebenaran diberikan. Buat masa ini pelawat memang kita tak benarkan masuk,” kata Amin.

Menurutnya, larangan bagi pelawat memasuki kawasan itu dikuatkuasa pihak pengurusan JMB pangsapuri berkenaan dan dimaklumkan kepada penduduk melalui notis.

Notis itu dengan jelas menyebut kemasukan pelawat tidak dibenarkan kecuali atas sebab tertentu, katanya.

Malah urusan seharian penghuni kediaman juga seperti pembelian barangan keperluan harian juga memerlukan kebenaran daripada pihak pengurusan bangunan.

Ia selari dengan SOP yang melarang mana-mana pelawat memasuki kawasan bangunan kecuali atas sebab tertentu seperti keperluan perubatan dan memerlukan kebenaran pengurusan bangunan.

MKN turut menetapkan pelawat yang dibenarkan masuk perlu mematuhi SOP standard seperti pemakaian pelitup muka, penjarakan fizikal, dan penggunaan cecair pencuci tangan.

Mereka juga perlu mendaftar suhu dan merekodkan melalui aplikasi MySejahtera di pos kawalan bangunan berkenaan.

Sebarang aktiviti pengubahsuaian pula hanya boleh dilakukan di premis kediaman yang kosong dan belum didiami.

Seorang pengerusi JMB yang hanya mahu dikenali sebagai Fazli pula berkata kawasan kediamannya juga tidak mewajibkan calitan Covid-19 ke atas warga asing.

Langkah itu dilihat tidak perlu katanya yang menambah, mereka bagaimamanapun mematuhi SOP asas MKN.

“Kita ada dua tangga dan kita tandakan mana tangga untuk naik dan turun, selain pematuhan SOP biasa.

“Tidak perlu rasanya untuk kita letakkan syarat ujian calitan, sebab tidak ada keperluan itu,” kata pengerusi di pangsapuri dari Subang itu.

Mereka mengulas kekeliruan yang timbul apabila Menteri Kanan Pertahanan Ismail Sabri Yakob mengumumkan pengurusan bangunan kediaman boleh mewajibkan ujian calitan Covid-19.

Kenyataan menerima tentangan pembangkang, jawatankuasa penduduk, peguam dan juga orang awam yang yang melihatnya sebagai langkah yang akan menimbulkan banyak kesulitan.

Antaranya Pengarah Komunikasi PKR Fahmi Fadzil yang menggesa ia dikaji semula kerana akan menyukarkan penduduk kerana perlu menanggung kos ujian.

Ahli Parlimen DAP Hannah Yeoh juga berkata ia akan menyusahkan penduduk kerana tidak dibuat berdasarkan kaedah saintifik memandangkan penduduk sentiasa keluar masuk kawasan itu.

Kenyataan itu dibalas dengan sinis oleh Ismail Sabri yang menuduh pembangkang tersebut sebagai jurucakap warga asing.

Susulan itu, MKN juga mengeluarkan kenyataan yang menjelaskan tiada dasar mewajibkan sesiapa yang masuk ke kondominium atau mana-mana kawasan perumahan menjalani ujian terlebih dulu.

Ia juga menjelaskan, terpulang kepada pihak pengurusan kondominium atau mana-mana kawasan perumahan untuk melaksanakan syarat tersebut.

Ia kerana kondominium dan apartmen tertutup adalah kawasan persendirian yang  mana pihak pengurusan boleh membuat peraturan di dalam kawasan mereka, menurut MKN. – 31 Januari, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen