Guan Eng, Tommy Thomas tiada dalam kerajaan perpaduan Dr M, dedah bekas peguam negara


The Malaysian Insight

Bekas peguam negara Tommy Thomas menerusi biografinya mendedahkan rentetan peristiwa yang membawa kepada perletakan jawatan Dr Mahathir pada 24 Februari 2020 dan usahanya untuk terus kekal berkuasa selepas itu.– Gambar fail The Malaysian Insight, 31 Januari, 2021.

UMNO dan PAS mahu Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng digugurkan daripada jawatan menteri kewangan sementara Peguam Negara Tommy Thomas dipecat sebelum setuju dengan idea Dr Mahathir Mohamad untuk membentuk kerajaan perpaduan pada Februari tahun lalu.

Desakan itu didedahkan oleh Thomas dalam biografinya My Story: Justice in Wilderness yang masuk pasaran semalam.

Tulisnya, dua parti Melayu itu mendakwa keputusan Thomas menggugurkan pertuduhan terhadap suspek penyokong kumpulan pengganas Pembebasan Harimau Tamil Eelam sebagai bersifat perkauman.

“Tun kata saya kena berhenti. Tun kata beliau tidak akan sambung kontrak saya apabila tamat pada Jun 2020, lebih kurang tiga bulan lagi (pada masa itu),” tulis Thomas.

Idea kerajaan perpaduan itu bagaimanapun tidak terlaksana selepas Dr Mahathir letak jawatan, lalu membawa kepada kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan tidak sampai dua tahun selepas menang pilihan raya umum pada Mei 2018.

Dalam biografinya Thomas mendedahkan rentetan peristiwa yang membawa kepada perletakan jawatan Dr Mahathir pada 24 Februari 2020 dan usahanya untuk terus kekal berkuasa selepas itu.

Menurut Thomas, selepas Dr Mahathir letak jawatan, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hendak melantik Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai perdana menteri sementara.

Biografi bekas peguam negara Tommy Thomas, My Story: Justice in Wilderness memasuki pasaran semalam. – Gambar Gerakbudaya, 31 Januari, 2021.

Langkah itu akan membolehkan PH memilih calon perdana menteri yang baharu dan gabungan itu kekal mentadbir di Putrajaya. Namun, Dr Mahathir mengemukakan namanya sendiri sebagai perdana menteri sementara, katanya.

Dr Mahathir juga meminta Yang di-Pertuan Agong menarik balik pelantikan semua menteri dan timbalan menteri untuk membentuk kerajaan perpaduan, dedah buku itu.

Dalam pertemuan pada 25 Februari, Thomas berkata Dr Mahathir memberitahunya beliau sudah bertemu dengan semua ketua parti politik dan mereka mahu beliau kekal sebagai perdana menteri.

Bagaimanapun Umno dan PAS tidak mahu Lim dilantik semula sebagai menteri kewangan, dan tidak mahu juga Thomas kekal sebagai peguam negara. – 31 Januari, 2021.

ULASAN BUKU di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen