Mestron peroleh surat kebenaran KKM berkaitan vaksin Covid-19


Mestron kini dalam proses rundingan dengan Zhongyu Yexing (Chengdu) Industrial Co., Ltd. mengenai perincian bagi potensi kerjasama. – Gambar EPA, 30 Januari, 2021.

MESTRON Holdings Bhd hari ini mengulangi bahawa pihaknya telah menerima surat kebenaran daripada Kementerian Kesihatan (KKM) untuk memulakan rundingan dan kerjasama dengan mana-mana syarikat dari China berhubung pengedaran vaksin Covid-19 di Malaysia.

Dalam kenyataan hari ini, Mestron menjelaskan surat bertarikh 8 Januari, 2021 membolehkan pihaknya mengadakan perbincangan dan kerjasama mengenai pengimportan, pengedaran, penjualan, pemasaran dan penggunaan vaksin Covid-19 di negara ini.

Mestron kini dalam proses rundingan dengan Zhongyu Yexing (Chengdu) Industrial Co., Ltd. mengenai perincian bagi potensi kerjasama.

“Selepas kami menetapkan terma-terma dengan Zhongyu Yexing, kami akan menghantar permohonan kepada Agensi Pengawalseliaan Farmaseutikal Kebangsaan (NPRA) untuk mendaftarkan dan memperoleh kelulusan bagi pengedaran vaksin Covid-19 di Malaysia,” menurutnya.

Pada Jumaat, Mestron menandatangani Perjanjian Dasar Induk dengan Zhongyu Yexing untuk memulakan perbincangan mengenai struktur dan terma-terma cadangan kerjasama yang berkaitan dengan pengedaran vaksin Covid-19 di Malaysia.

Kedua-dua pihak menjangka dapat memuktamadkan dan memeterai perjanjian definitif dalam tempoh 30 hari selepas perbincangan dan rundingan selesai. – Bernama, 30 Januari, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen