Mudahkan warga asing mohon visa, gesa ahli Parlimen


Alfian Z.M. Tahir

Ramai pasangan warga asing menghadapi banyak cabaran walaupun sudah bertahun-tahun menetap di negara ini, antaranya status imigresen yang menyukarkan mereka untuk bekerja di sini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 30 Januari, 2021.

ISU membabitkan keluarga warga asing perlu dilihat sebagai dari sudut pembangunan, bukan dari perspektif undang-undang dan ketenteraman, kata Charles Santiago.

Bercakap pada webinar  di Facebook anjuran Foreign Spouses Support Group semalam,  ahli Parlimen Klang itu berkata masyarakat sivil perlu menolak naratif tersebut, selain menggesa agensi berkaitan lebih berani menyuarakan pendapat.

“Kerajaan melihat isu ini dari sudut undang-undang dan ketenteraman, bukan dari sudut pembangunan.

“Ini sebabnya mengapa terlalu banyak peraturan yang tidak jelas, yang menyebabkan penjawat awam di Jabatan Imigresen membuat keputusan sewenang-wenangnya.

“Kita menggesa pendekatan pembangunan. Apa yang kita boleh dapat dari pasangan warga asing? Adakah memberi manfaat kepada ekonomi Malaysia? Apa yang Malaysia akan rugi jika pasangan warga asing ini kita tidak masukkan sebagai sebahagian daripada keluarga Malaysia?”

Seperti di negara maju lain, perkahwinan antara negara di Malaysia kian meningkat apabila semakin ramai rakyat tempatan ke luar negara untuk melanjutkan pelajaran dan atas urusan perniagaan.

Ramai pasangan warga asing menghadapi banyak cabaran walaupun sudah bertahun-tahun menetap di negara ini, antaranya status imigresen yang menyukarkan mereka untuk bekerja di sini. Mereka sering diarahkan supaya memohon visa untuk tinggal di Malaysia.

Ini dikongsikan sendiri oleh seorang wanita Mongolia yang berkahwin dengan rakyat tempatan, yang menceritakan pengalamannya semasa webinar semalam.

Gul Jan, yang sudah 14 tahun berkahwin, dan graduan perakaunan universiti tempatan, berkata Jabatan Imigresen beberapa kali meolak permohonan visanya tanpa sebarang alasan.

Ini menyukarkannya mencari pekerjaan di mana-mana institusi kewangan di Malaysia walaupun mempunyai kelayakan.

Mengulas isu ini, Chrales berkata kerajaan kurang memberi kepercayaan terhadap warga asing bekerja di institusi kewangan tempatan dan amalan dwistandard untuk membawa masuk penasihat kewangan warga asing.

“Institusi kewangan melibatkan kerahsiaan, jadi timbul isu kepercayaan. Ini berpunca dari perspektif undang-undang dan ketenteraman kerajaan. Boleh jadi dia (Gul Jan) seorang perisik.

“Namun, mereka yang menasihati kerajaan pula adalah warga asing, misalnya Bank Dunia. Mereka boleh datang dan nasihat kerajaan berkenaan isu kewangan. Ini jelas menunjukkan dwistandard,” katanya. – 30 Januari, 2021. 

Berita penuh di sini.


 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen