Apa sebenarnya masalah pendidikan era Covid-19


SEMENJAK Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) dilaksanakan, kita melihat ramai yang membantu pelajar untuk mempermudahkan proses PdPR berlaku.

Saya melihat beberapa kempen untuk membeli komputer riba atau peranti digital dilakukan. Ramai wakil rakyat tanpa perlu membotakkan kepala turun memberi bantuan berbentuk komputer riba kepada pelajar-pelajar yang memerlukan.

Saya mengakui usah-usaha ini penting supaya proses pembelajaran masih mampu berjalan ketika jumlah kes baharu Covid-19 di Malaysia seperti tidak mahu surut.

Cuma, saya bimbang fokus kita terlalu tertumpu kepada pemberian gadget sehingga kita terlupa ia bukanlah satu-satunya penghalang yang mampu membantutkan proses pembelajaran pelajar.

Apabila berhadapan dengan masalah, lihatlah pada akarnya

Ketika kita berhadapan dengan sesuatu masalah, kita perlu melakukan analisis yang mendalam terhadap punca permasalahan tersebut.

Apabila pembelajaran beralih dari sekolah ke rumah, apa masalah terbesar yang dihadapi oleh pelajar dan guru?

Sudah tentu masalah utamanya adalah peralatan elektronik dan jaringan Internet. Buat masa ini, perbincangan kita hanya tertumpu kepada peralatan elektronik dan seolah-olah mengabaikan masalah jaringan Internet.

Untuk melakukan PdPR secara kondusif, kedua-dua elemen ini perlu dibincangkan secara kritikal.

Kita tidak boleh beranggapan sekiranya semua pelajar telah dibekalkan komputer riba, maka masalah PdPR ini akan selesai – kesimpulan seperti ini selalunya lahir akibat tidak memiliki perbincangan yang kritikal terhadap masalah.

Pemberian peralatan elektronik adalah relevan di kawasan-kawasan bandar, kerana kawasan ini mempunyai jaringan Internet yang baik.

Bagaimana pula dengan mereka yang tinggal di kawasan pedalaman atau kampung yang mempunyai capaian Internet yang rendah?

Dalam situasi seperti ini, memberikan mereka 10 komputer riba tidak akan memberi apa-apa erti.

Malangnya, saya tidak melihat satu perancangan yang jelas dari Kementerian Pendidikan Malaysia tentang inisiatif yang akan dilakukan oleh pelajar-pelajar yang mempunyai masalah jaringan Internet.

Apakah mereka akan diabaikan hanya kerana mereka tidak memiliki jaringan Internet?

Saya sependapat dengan Prof. Dr. Jomo apabila beliau mengatakan kita perlu menggunakan televisyen dan radio sebagai medium pembelajaran dan pengajaran dari rumah.

Kita mungkin boleh berkata – tidak semua keluarga memiliki televisyen atau radio di Malaysia – tapi hakikatnya keluarga yang memiliki televisyen  atau radio sudah pasti lebih ramai daripada keluarga yang memiliki komputer riba dan capaian Internet.

Perancangan pendidikan era Covid-19 seharusnya inklusif, bukan hanya dicipta untuk pelajar-pelajar yang berkemampuan.

Ia seolah-olah kita menghantar mesej kepada rakyat; orang miskin dilarang untuk belajar.

Sesekali untuk bergerak ke hadapan, kita harus berundur ke belakang. Saya faham mengapa Kementerian Pendidikan Malaysia terikut-ikut dengan rentak negara-negara maju apabila mengarahkan pembelajaran dalam talian.

Kebanyakan negara maju ini mempunyai infrastruktur dan sumber yang membolehkan pembelajaran dalam talian berlaku dengan baik.

Untuk Malaysia, kita masih ketinggalan – dan akses kepada teknologi ini hanya mampu dimiliki oleh sebahagian kecil rakyat.

Kita harus mencipta dasar yang mampu memberi manfaat kepada semua orang, bukan kelas-kelas sosial tertentu sahaja.

Kita tidak perlu malu untuk kelihatan tradisional kerana menggunakan televisyen; kita patut berbangga kerana dasar seperti itu adalah dasar yang berpijak kepada realiti.

Pandemik kali ini memberikan kita pelajaran tentang masalah jaringan Internet yang ada di Malaysia.

Dahulu negara kita pernah perkenalkan program Kampung Tanpa Wayar 1 Malaysia, dengan harapan ingin memberi Internet percuma kepada penduduk di kampung-kampung.

Hari ini, nampaknya kampung-kampung tersebut kebanyakannya benar-benar menjadi ‘tanpa wayar’; bermaksud tidak ada wayar yang boleh menghubungkan mereka dengan internet.

Akhirnya pelajar-pelajar yang tidak mempunyai akses kepada internet akan berasa disisihkan dan kehilangan keyakinan (secara psikologi) kerana tidak dapat mengikuti proses pembelajaran.

Ia adalah masa yang sesuai untuk Kementerian Pendidikan bersifat lebih pragmatik dan mencipta dasar yang mampu memberi manfaat kepada kebanyakan pelajar.

Kita telah membuang terlalu banyak masa dengan isu-isu ‘plastik’ sehingga kita lupa isu utama – memastikan semua pelajar dapat meneruskan pembelajaran ketika pandemik. – 29 Januari, 2021.

* Rahman Imuda merupakan bekas aktivis mahasiswa. 

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen