Dunia nampak kehebatan Rusia melawan Daesh, kata Putin


Presiden Rusia Vladimir Putin mengangkat gelas champagne kepada jurugambar sebagai simbol ucap selamat. Hari ini beliau memuji kempen Rusia menentang pengganas Daesh di Syria sebagai "berprinsip, tegas mengalahkan penjenayah yang telah mencabar tamadun kita." – Gambar AFP, 28 Disember, 2017.

MOSCOW merupakan penyumbang dan kunci utama melawan Daesh di Syria selain kempen ketenteraannya membantu memberi sokongan moral kepada pasukan tentera Rusia, kata presidennya Vladimir Putin.

Ketika berucap di majlis penganugerahan kepada pegawai yang terlibat dalam kempen menentang Daesh, Putin berkata, Rusia “telah memberi sumbangan prinsipal dan tegas mengalahkan penjenayah yang telah mencabar tamadun kita.”

Beliau menyelar pengganas sebagai “diktator barbarik yang mencambah kematian dan kemusnahan” selain menuduh mereka sebagai “melakukan pencerobohan global yang mana sasarannya negara kita.”

Dalam ucapan dihadapan ratusan pegawai di Kremlin itu, Putin berkata campur tangan Rusia di Syria juga telah mengubah corak pasukan tentera negara itu dengan keyakinan tinggi selain menunjukkan kepada dunia kekuatan ketenteraan Moscow itu.

Katanya, kempen yang dilancarkan Rusia pada 2015 sebagai sokongan terhadap Presiden Syria Bashar al-Assad itu melibatkan lebih kurang 48,000 orang, yang mana membantu mengubah corak peperangan.

“Anda, yang orang lain tak faham, tahu dan rasa yang tentera telah berubah secara drastik sepanjang beberapa tahun ini,” katanya.

“Ia berubah kerana rakyat berkeyakinan tinggi.

“Mereka faham bagaimana kelengkapan tentera berfungsi, bagaimana arahan dan bekalan berfungsi, bagaimana pasukan tentera moden kita dah jadi. Seluruh dunia nampak, dan paling penting, rakyat kita sendiri (nampak).”

Awal bulan ini, Putin melakukan lawatan mengejut di pangkalan udara Hmeimim di Syria di mana beliau mengarahkan beberapa bahagian tentera keluar dari negara itu kerana tugas mereka telah selesai.

Rusia berkata pangkalan udara Hmeimim di Latakia akan dikekalkan beroperasi sementara kelengkapan tentera laut di pelabuhan Tartus, Syria akan diperbesarkan. – AFP, 28 Disember, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen