Ahli Parlimen pembangkang selar kenyataan Ismail


Fahmi Fadzil menafikan, manakala Hannah Yeoh mendakwa Ismail Sabri sebagai kelas rendah. – Gambar fail The Malaysian Insight, 29 Januari, 2021.

SETELAH digelar sebagai ‘pejuang warga asing’, ahli Parlimen Lembah Pantai dan ahli Parlimen Segambut, Fahmi Fadzil dan Hannah Yeoh hari ini menyelar kenyataan Ismail Sabri Yaakob.

Fahmi menjawab dakwaan Ismail dengan berkata kenyataannya semalam langsung tidak menyebut mengenai isu warga asing.

Katanya, beliau membangkitkan isu kos ujian Covid-19 yang tidak dijawab oleh Ismail.

“Isunya mengenai JMB (Badan Perumahan Bersama) dan MC (Perbadanan Pengurusan). Itu isu penting,” kata Fahmi melalui Twitter.

Sementara itu Yeoh menolak untuk berdebat dengan ahli Parlimen Umno itu.

“Kelas rendah. Tak ada kelas,” katanya.

Awal hari ini Ismail Sabri mengecam Fahmi dan Yeoh, dengan berkata mereka bertindak seolah jurucakap warga asing selepas kedua mereka menyol kenyataan Ismail semalam yang membenarkan pengurusan kondominium mengarahkan penduduk memberi laporan Covid-19.

“Bagi Hannah Yeoh dan Fahmi Fadzil, mereka ini merupakan pejuang warga asing. Mungkin mereka ini wakil rakyat warga asing, bukan rakyat Malaysia.

“Bagi mereka kos yang ditanggung oleh warga asing untuk saringan Covid-19 lebih berharga dari nyawa rakyat Malaysia,” katanya.

Semalam, Fahmi berkata dasar itu mesti dikaji semula kerana boleh mendiskriminasi penduduk yang tidak mampu membayar kos ujian Covid-19.

Dalam pada itu, Yeoh berkata dasar itu akan menyusahkan penyewa, dan tidak berdasarkan kaedah saintifik.

Dalam sidang media semalam, Ismail Sabri mengumumkan pengurusan kondominium dan kompleks kediaman dapat membuat peraturan yang akan menjamin keselamatan penghuninya.

Beliau berkata perkara ini dibenarkan walaupun tidak ada arahan dari kerajaan.

Katanya lagi, pihak pengurusan juga boleh memaksa warga asing menjalani ujian Covid-19 kerana kondominium atau pangsapuri adalah kawasan persendirian.

Dilaporkan pengurusan beberapa kondominium telah mewajibkan penyewa mereka menjalani ujian Covid-19. – 29 Januari, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen