Waspada produk makanan haiwan 'murah' dalam talian, kata pakar veterinar


Hailey Chung Wee Kye

Klinik haiwan menerima lebih banyak haiwan peliharaan untuk rawatan kesan daripada penggunaan produk yang tidak berkualiti.– 31 Januari, 2021.

SEMAKIN banyak haiwan peliharaan dihantar ke klinik haiwan berikutan tindakan pemilik yang membeli makanan dan produk haiwan dalam talian hanya kerana harganya lebih murah, kata pakar veterinar dan pemilik kedai haiwan peliharaan. 

Mereka memberitahu The Malaysian Insight timbul persoalan mengenai kualiti ubat-ubatan dan makanan yang dijual dengan harga murah dan dihantar terus ke rumah yang menjadi pilihan pemilik haiwan.

Tiada sebarang kawalan dibuat ke atas produk yang dijual dalam talian ini, kata mereka dan menambah pihak berkuasa perlu mengambil tindakan dan menjalankan lebih banyak penguatkuasaan bagi menjaga kebajikan haiwan. 

Pengarah klinikal Hospital Haiwan Cyberlynx Dr Sam Mohan Aruputham memberitahu The Malaysian Insight harga yang murah dan stok yang tersedia menjadi punca utama pemilik haiwan beralih kepada produk terbabit.

“Banyak ubat-ubatan dan makanan yang dipek semula dijual di Lazada, Shopee atau lain-lain platform diragui. Ini terpulang kepada pemilik haiwan untuk membuat pilihan,” kata Dr Sam. 

“Agensi berkaitan juga perlu diberi kuasa untuk menangani maslaah ini sebelum ia menjadi krisis.”

Sebagai contoh katanya, Lembaga Farmasi Malaysia mempunyai kuasa untuk mengawal namun tiada kepakaran menegnai produk veterinar yang dijual dalam talian. 

Beliau berkata perkara ini perlu ditangani oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar, undang-undang perlu dipinda. 

Dr Sam merupakan exco jawatankuasa eksekutif Persatuan Veterinar Malaysia dari 2018 hingga 2020 dan kini memegang jawatan presiden Persatuan Parasitologi dan Perubatan Tropika.

Beliau berkata terdapat ramai pencinta haiwan di negara ini malangnya mereka kurang pengetahuan berhubung kebajikan haiwan termasuk haiwan peliharaan dan haiwan liar. 

Dr Mazrul Fahmi Mahadzir memeriksa haiwan peliharaan yang dihantar di kliniknya. – 30 Januari, 2021.

“Pendidikan adalah kunci utama untuk membuat perubahan. Asasnya mesti ditangani dan kita tidak boleh menyalahkan kerajaan semata-mata,” kata Dr Sam. 

“Kekurangan utama adalah Jabatan Perkhidmatan Veterinar berada di bawah Kementerian Pertanian sementara Jabatan Hidupan Liar berada di bawah Kementerian Tenaga dan Sumber Asli.

“Oleh itu, masalah tidak dapat diselesaikan atau diselaraskan. Kementerian Pendidikan dan Kesihatan harus berada dalam jaringan yang sama untuk memulakan proses pendidikan.”

Seorang doktor haiwan, Dr Mazrul Fahmi Mahadzir, 33, turut memberi amaran mengenai produk haiwan dalam talian.

“Semua orang boleh menjualnya tanpa sebarang sijil atau kelulusan. Jadi tidak adil bagi pemilik haiwan jika penjelasan yang baik tidak diberikan mengenai produk yang mahu dibeli,” kata Mazrul. 

“Situasi dalam talian ini juga memberi saingan kepada banyak kedai haiwan peliharaan.

“Kedai haiwan ini juga berdepan kesukaran dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kerana pelanggan beralih kepada Lazada dan Shopee berikutan jualan bulanan yang ditawarkan. 

“Untuk mendapatkan bekalan kepada haiwan peliharaan mereka lebih mudah kerana ia dihantar terus ke rumah.” – 31 Januari, 2021.

Berita penuh di sini. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen