PENDAKWA raya Jepun dilaporkan mendakwa kapten bot nelayan Korea Utara kerana mencuri pada Khamis, yang didakwa melarikan barangan berupa peralatan elektrik hingga panel solar.
Nelayan berusia 45 tahun itu merupakan antara 10 “nelayan” Korea Utara yang dilihat menaiki sebuah bot kayu kecil cuba mengharungi cuaca buruk di perairan utara kepulauan Hokkaido, pada akhir November.
Sebahagian daripada mereka mengaku “mengeluarkan” beberapa barangan elektronik dari pulau terpencil di Jepun di mana mereka mendarat untuk berlindung daripada cuaca buruk.
Kapten bersama dua anak kapal, yang kesemuanya memperkenalkan diri sebagai warga Korea Utara ditahan pada awal bulan ini kerana disyaki mencuri jenerator kuasa di pulau kecil berkenaan.
Menurut pertuduhan, kapten bot berkenaan mula mencuri 40 barangan daripada perkakasan rumah hingga panel solar yang bernilai 5.65 juta yen (AS$50,000), lapor agensi berita NHK, dan menambah kesemua tertuduh dibicarakan di Jepun.
Baki sembilan lagi anak kapal dijangka akan dihantar pulang ke Korea Utara, kata NHK.
Pendakwaraya ketika dihubungi AFP bagaimanapun enggan mengulas lanjut ketika dihubungi.
Banyak bot nelayan Korea Utara yang hanyut ke perairan Jepun setiap tahun, namun pengawal pantai Jepun melaporkan 28 kes bulan lepas, yang mana ia merupakan tertinggi sejak mula direkodkan pada 2014.
Pakar mengatakan, nelayan Korea Utara terpaksa berlayar ke laut lepas lebih jauh bagi memenuhi mandat kerajaan untuk tangkapan yang lebih besar.
Namun keadaan bot mereka tidak dilengkapi peralatan yang baik serta cenderung untuk berdepan masalah mekanikal, termasuk kehabisan minyak, dan mereka tiada banyak cara untuk menghubungi penyelamat. – AFP, 28 Disember, 2017.
Komen