40 terbunuh dalam serangan bom di Kabul 


Anggota pasukan keselamatan Afghanistan menjalankan pemeriksaan di kawasan serangan bom di Kabul pada Khamis. 40 orang dilaporkan terbunuh dalam serangan itu.– Gambar EPA, 28 Disember, 2017.

SEKURANG-kurangnya 40 orang terbunuh manakala ramai lagi dilaporkan cedera dalam serangan bom di pusat kebudayaan Syiah di Kabul pada Khamis, kata pihak berkuasa, dalam keganasan terbaharu yang melanda ibu negara Afghanistan. 

Tiada pihak yang mengaku bertanggungjawab, namun Taliban dengan pantas menafikan penglibatan mereka dalam serangan berhampiran Agensi Suara Afghanistan, sebuah premis media yang terdahulu melaporkan ia berkemungkinan menjadi sasaran serangan. 

Jurucakap timbalan menteri dalam negeri Nasrat Rahimi memberitahu AFP, letupan itu disasarkan kepada pusat kebudayaan Syiah Tabayan. 

“Satu majlis sedang berlangsung bagi memperingati ulang tahun ke 38 penjajahan Kesatuan Soviet di Afghanistan apabila letupan itu berlaku,” katanya.

“Setakat ini, 40 orang terbunuh dan 30 lagi cedera, namun ini bukanlah angka terakhir kerana angka kematian dijangka akan terus meningkat.”

Rahimi berkata letupan besar itu turut disusuli dengan dua letupan kecil yang tidak mendatangkan sebarang kecederaan. 

Kabul menjadi lokasi yang paling teruk kepada orang awam di negara bergolak Afghanistan, berikutan Taliban mempertingkatkan serangan mereka dan kumpulan IS semakin berkembang di negara itu. – AFP, 28 Disember, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen