Isu pendidikan: Manifestasi kegagalan Perikatan


PANDEMIK Covid-19 sudah tentu memberi impak yang besar terhadap perjalanan ekonomi.

Ia juga medan semulajadi untuk menguji tahap kecekapan pengurusan, penjagaan kesihatan dan fasiliti awam bagi mengetahui kesediaan kita untuk berhadapan dengan bencana ini. 

Wabak ini juga memberi impak yang besar terhadap sektor pendidikan. Perkongsian mengenai ketiadaan alat peranti, masalah capaian internet, dan masalah motivasi pelajar membanjiri media sosial. 

Situasi ini membuktikan kerajaan Perikatan Nasional (PN) gagal mengurus kesan pandemik terhadap pelajar, tenaga pengajar, dan juga ibu bapa.

Pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran Di Rumah (PdPR) yang diumumkan oleh Kementerian Pendidikan adalah sesuatu yang tidak dapat dielak memandangkan seluruh negara kecuali negeri Sarawak kini berada di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). PdPR akan membolehkan pengajaran dan pembelajaran diteruskan secara atas talian (online).

Kelemahan capaian Internet

Pandemik ini juga mendedahkan masyarakat kepada kesenjangan digital yang wujud di negara ini. Ramai pelajar yang tidak mampu mengikuti pembelajaran secara online kerana tiada capaian internet. 

Mengapa tiada langkah drastik diambil bagi menyelesaikan masalah ini sedang kita punya keupayaan untuk menyelesaikan pembangunan infra bagi tujuan tersebut dalam masa yang singkat. 

Rundingan dengan pemain industri telekomunikasi adalah perlu bagi memastikan masalah ini dapat diredakan.

Ini termasuk dengan menawarkan skim atau pakej internet atau apa jua sahaja keupayaan mereka untuk membantu kerajaan dalam krisis yang sedang melanda.

Sudah tiba masanya mereka berbakti kepada tuan tanah.

Pandemik ini melanda negara sejak awal tahun lalu.  Kerajaan tiada alasan untuk tidak menyediakan infrastruktur asas internet yang lengkap bagi membenarkan pelaksanaan PdPR yang berkesan. 

Jelas, menteri pendidikan telah gagal merancang secara komprehensif dan hanya membuat perancangan secara reaktif.

Isu peranti

Masalah peranti juga memberi gambaran bahawa ramai pelajar yang masih belum bersedia untuk menjalani PdPR dan mengakibatkan keciciran pelajaran.

Bagi mereka yang mempunyai bilangan anak ramai bersekolah, ini cabaran yang besar terutamanya bagi golongan B40.  

Pakej Permai yang diumumkan oleh perdana menteri tidak memberi sebarang inisiatif khas bagi anak-anak golongan B40 untuk mendapatkan alat peranti.

Sebaliknya, hanya sekadar pelepasan cukai hingga RM2,500 untuk pembelian komputer, laptop, dan telefon pintar. 

Pelepasan cukai ini hanya relevan bagi golongan yang berpendapatan RM34,000 setahun dan ke atas sahaja oleh kerana mereka yang berpendapatan kurang daripada itu tidak layak untuk membayar cukai pendapatan. 

Ini juga membuktikan pakej Permai merupakan perancangan reaktif yang tidak mengambil kira keberkesanan terhadap kumpulan sasar yang lebih memerlukan.  

Inisiatif seperti pemberian baucar dan pemberian langsung peranti wajar dipertimbangkan.

Ini dijangka lebih berkesan untuk menutup jurang digital yang wujud. Syarikat gergasi perlu dikerahkan melalui tanggungjawab sosial koprat (CSR) bagi menampung beban ini bersama.

Kesihatan mental pelajar dan guru

Tidak dinafikan juga bahawa perubahan norma PdPR telah sedikit sebanyak memberi kesan kepada aspek kesihatan mental pelajar dan tenaga pengajar.

Pelbagai luahan pelajar dikongsikan di media sosial lantas memberi gambaran bahawa kesihatan mental pelajar terjejas akibat perubahan drastik terhadap norma pembelajaran mereka. 

Tekanan dan perubahan tersebut tidak eksklusif kepada murid, malah juga melibatkan guru-guru yang juga perlu mengadaptasi teknik pembelajaran dan cabaran dalam menyediakan bahan untuk mengajar. 

Harus diingatkan bahawa kualiti pendidikan yang diterima oleh pelajar bergantung kepada kualiti guru. Maka amat penting juga supaya kesihatan mental tenaga pengajar diberi perhatian. 

Seorang guru yang bermotivasi akan lebih diyakini pelajar dan mampu mengajar dengan lebih berkesan.

Meskipun menyedari hakikat tersebut, tiada sebarang usaha yang dijalankan bagi memantau perkara ini.

Melangkah ke hadapan

Kerajaan seharusnya menyemak semula bantuan yang perlu diberikan kepada rakyat supaya selaras dengan keperluan semasa yang mendesak dan akan datang.

Kerajaan harus mengimbangi pendekatan sedia ada dengan strategi yang fokus kepada jangka masa panjang.

Kita bingung memikirkan apakah yang dilakukan menteri pendidikan sepanjang hampir setahun mengepalai kementerian pendidikan. Ini kerana kelangsungan sistem pendidikan  negara adalah tunjang kepada pembinaan modal insan masyarakat di negara ini. 

Ketiadaan pelan arah tuju pendidikan ketika tempoh pandemik ini dan pasca pandemik adalah lambang kegagalan yang serius dan membimbangkan.

Ini juga menggambarkan sikap dan tahap keprihatinan kerajaan hari ini terhadap nasib dan derita rakyat kebanyakan.

Pandemik ini membawa pelbagai cabaran kepada pelajar, guru, ibu bapa, dan juga pihak kerajaan.

Kerajaan yang peka dan bertanggungjawab harus elak daripada mewujudkan “lost generation” akibat pandemik ini dengan memberi perhatian yang sewajarnya kepada isu yang dibangkitkan. 

Masa depan negara bergantung kepada kualiti pendidikan yang disediakan.

Apa yang pasti dalam tempoh hampir setahun pasca Langkah Sheraton, kerajaan ini dibelenggu dengan masalah menteri yang tidak kompeten, tiada hala tuju yang jelas, rapuh dan tidak efisien. 

Prestasi buruk menteri pendidikan, menteri pengajian tinggi dan menteri kesihatan adalah manifestasi jelas kepada kegagalan kerajaan hari ini.  

Nyata keadaan ini memerlukan Malaysia ditadbir oleh pemimpin yang lebih tegas, berani dan berkaliber.

Kerakusan terhadap kuasa dan jawatan telah mengakibatkan nasib masa depan anak watan dipertaruhkan dan dipermainkan. 

Sudah tiba masa untuk perdana menteri tanpa mandat ini untuk mengundurkan diri secara terhormat sebelum rakyat bangkit mengusung beliau keluar daripada kerusi empuk di Putrajaya. . – 27 Januari, 2021.

* Muhammad Kamil Abdul Munim, Exco Angkatan Muda Keadilan Perak.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen