Tarian singa perlukan tuah ketika pandemik


Angie Tan

Kumpulan penari berjaya bertahan dengan wang yang diperoleh semasa Tahun Baru Cina lepas. Sebelum pandemik, mereka juga membuat persembahan di pembukaan kedai baharu, acara di tokong dan Perayaan Kuih Bulan, selain beberapa acara untuk pelanggan yang mahu meraikan sesuatu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 29 Januari, 2021.

SALAH satu bunyi yang akan dirindui ketika sambutan Tahun Baru Cina untuk tahun ini adalah hentakan simbal dan dram.

Tahun ini tempahan untuk tarian singan jatuh 90 peratus, sekali gus membatalkan acara besar-besaran tahunan ini yang selalu diadakan bagi menyambut tahun baru lunar pada 12 dan 13 Februari.

Kumpulan tarian itu memberitahu The Malaysian Insight pelanggan tetap mereka seperti pusat membeli-belah, kedai-kedai dan kediaman perumahan telah membatalkan tempahan berikutan perintah kawalan pergerakan (PKP) bagi membendung penularan Covid-19.

Pun begitu ramai yang memilih untuk membatalkan tempahan, walaupun PKP dijangka tamat pada 4 Februari dan tidak dilanjutkan. 

Setiausaha Agung Persatuan Tarian Naga dan Singa Malaysia, Yong Kheng Chien berkata, tempahan biasanya dibuat sebulan sebelum Tahun Baru Cina.

“Disebabkan tidak jelas sama ada kerajaan akan melanjutkan PKP, kebanyakan pelanggan telah batalkan tempahan. Hanya seikit sahaja tempahan diterima, lebih kurang 20 peratus.

“Jika PKP dilanjutkan, tempahan ini juga akan dibatalkan,” kata Yong.

Tambahnya lagi, penari profesional mendapat gaji bulanan dan kemungkinan besar akan hilang mata pencarian.

Kumpulan penari berjaya bertahan dengan wang yang diperoleh semasa Tahun Baru Cina lepas. Sebelum pandemik, mereka juga membuat persembahan di pembukaan kedai baharu, acara di tokong dan Perayaan Kuih Bulan, selain beberapa acara untuk pelanggan yang mahu meraikan sesuatu.

“Namun, aktiviti seperti ini telah dibatalkan tahun lepas kerana pandemik.

“Kami risau jika kami tidak dapat buat persembahan seperti biasa tahun ini, sekurang-kurangnya 1,200 penari tarian singa di negara ini mungkin muflis.”

Yong bimbang penari profesional, yang lebih muda dan sihat fizikal, akan tukar kerja dan meninggalkan terus ke kumpulan tarian singa, sekali gus menamatkan tradisi budaya yang sangat popular di seluruh dunia.

“Jika anak-anak muda berhenti berlatih, perlahan-lahan mereka akan hilang minat yang akan menyebabkan kekurangan penari singa di masa hadapan.”

Ketua jurulatih Persatuan Sukan Hong Teck Antarabangsa, Siow Ho Phiew, berkata lebih kurang 10 hingga 20 peratus pelanggan tetap mereka telah membuat tempahan.

“Mereka masih yakin untuk adakan tarian singa setahun sekali untuk membawa tuah.

“Kami telah memberitahu pelanggan, kami akan buat persembahan jika kerajaan melonggarkan sekatan pergerakan.”

Tambah Siow, sekatan pergerakan juga menyukarkan sesi latihan kerana penari perlu berlatih dalam kumpulan.

“Namun, jika kami tidak cukup latihan, prestasi kami juga menurun.” – 29 Januari, 2021.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen