Di Singapura, permohonan ambil anak angkat lelaki homoseksual ditolak


Lelaki itu, seorang doktor yang mempunyai pasangan, pada mulanya berhubung dengan pihak berkuasa untuk menjadikan anak kandungnya sebagai anak angkat di negara itu tetapi diberitahu pasangan homoseksual mungkin tidak akan diberikan kebenaran, menurut dokumen mahkamah. – Gambar AFP, 28 Disember, 2017.

SEORANG lelaki homoseksual di Singapura gagal dalam permohonan untuk menjadikan anak kandungnya yang dilahirkan menerusi ibu tumpang di Amerika Syarikat sebagai anak angkat.

Lelaki itu, seorang doktor yang mempunyai pasangan, pada mulanya berhubung dengan pihak berkuasa untuk menjadikan anak kandungnya sebagai anak angkat di negara itu tetapi diberitahu pasangan homoseksual mungkin tidak akan diberikan kebenaran, menurut dokumen mahkamah.

Pasangan itu mengunjungi AS di mana doktor itu melalui proses persenyawaan tabung uji dan mencari ibu tumpang yang bersetuju mengandung dan melahirkan anaknya dengan harga AS$200,000.

Seorang bayi lelaki dilahirkan dan doktor itu yang merupakan ayah kandungnya dibenarkan membawa balik budak itu ke Singapura untuk tinggal bersama. Budak itu kini berusia empat tahun.

Doktor itu memohon secara rasmi untuk mengambil budak itu sebagai anak angkat di Singapura bagi “mengesahkan” hubungan mereka dan berharap dapat memperolehi kewarganegaraan Singapura untuknya tetapi ditolak mahkamah, menurut penghakiman yang dikeluarkan awal minggu ini.

Hakim Mahkamah Daerah Shohba Nair berkata doktor tersebut dan pasangannya sedar yang prosedur membantu pasangan mendapatkan anak hanya tersedia bagi pasangan berkahwin di Singapura dan tiada perkhidmatan ibu tumpang dibenarkan di negara itu.

Perkahwinan sejenis dilarang di Singapura. Ibu tumpang juga tidak diharamkan secara langsung walaupun kerajaan menyediakan garis panduan melarang amalan itu di pusat bantuan kelahiran, menurut akhbar Straits Times.

“Pemohon, yang juga doktor perubatan, pastinya sangat jelas yang prosedur perubatan yang dilakukan untuk mendapatkan anaknya sendiri tidak mungkin dibenarkan dilakukan di Singapura,” kata hakim itu.

Kebajikan kanak-kanak itu tidak menjadi masalah dalam kes itu kerana dia akan terus dijaga oleh ayah kandungnya dan mempunyai kewarganegaraan Amerika Syarikat, kata hakim itu lagi.

Hakim juga tidak menerima hujah peguam lelaki berkenaan yang mengatakan dia dinafikan hak mengambil anak angkat kerana ia akan secara langsung mengiktiraf keluarga homoseksual, lapor akhbar Straits Times lagi. – AFP, 28 Disember, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen