Putrajaya perlu strategi lawan virus dan buka ekonomi, kata kumpulan perniagaan


Bernard Saw

Outlet perniagaan tidak penting dibenarkan dibuka ketika PKP tetapi pusat beli-belah kosong, membawa kepada pembaziran sumber, kata ACCCIM. – Gambar fail The Malaysian Insight, 27 Januari, 2021.

PEMIMPIN perniagaan menggesa Putrajaya membangunkan pelan komprehensif yang membolehkan aktiviti perniagaan berlangsung, tetapi pada masa sama penularan Covid-19 dapat dikawal.

Walaupun pemimpin industri memahami keperluan sekatan pergerakan, mereka berkata pasti ada prosedur operasi standard (SOP) dan strategi lain bagi membendung jangkitan yang boleh digunakan untuk membolehkan ekonomi beroperasi pada masa sama.

Ahli Jawatankuasa Kebangsaan Dewan Perniagaan Cina Bersekutu dan Industri Malaysia (ACCCIM) Koong Lin Loong berkata masyarakat perniagaan tidak bersetuju dengan perintah berkurung secara sepenuhnya.

“Taiwan dan Hong Kong tidak menutup sepenuhnya ekonomi mereka, sebaliknya mematuhi SOP dengan sangat ketat. Ini lebih ideal,” katanya.

Beliau mengulas tentang kemungkinan penutupan ekonomi sepenuhnya dilakukan susulan perintah kawalan pergerakan (PKP) lebih ketat yang disebut dalam memo Dewan Perniagaan dan Industri Kesatuan Eropah (EU)-Malaysia (EuroCham) yang terbocor, selepas mesyuaratnya dengan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti).

Bagaimanapun, Eurocham kemudian menafikan kerajaan berkata demikian pada mesyuarat itu iaitu PKP lebih ketat mungkin dikuatkuasakan selepas 4 Februari, dan berkata kemungkinan itu akan hanya dipertimbangkan jika jumlah kes jangkitan Covid-19 masih tidak menunjukkan penurunan.

Kes jangkitan harian Covid-19 berada pada paras 3,000 hampir dua minggu, mencecah 4,000 pada beberapa hari dengan angka tertinggi 4,275 pada 23 Januari. Kes aktif pada masa ini lebih 40,000.

Tiada siapa mahu ekonomi Malaysia meleset, tetapi tiada sesiapa juga mahukan sistem penjagaan kesihatan terjejas, kata Koong.

Kerajaan kini membabitkan hospital swasta untuk merawat pesakit Covid-19 dalam usaha nenambah jumlah kapasiti katil. Protokol terbaru itu juga membolehkan kes positif tetapi tidak bergejala menjalani kuarantin di rumah, tidak perlu dimasukkan ke hospital.

MRCA berkata restoran berada dalam keadaan nyawa-nyawa ikan kerana hanya bergantung kepada perkhidmatan bawa pulang sepanjang tempoh PKP. – Gambar fail The Malaysian Insight, 27 Januari, 2021.

Koong berkata beliau berpendapat PKP perlu dikuatkuasakan dengan ketat bagi mencapai tujuannya, dan PKP 2.0 yang membenarkan perkhidmatan perniagaan tidak penting dibuka adlaah “pembaziran sumber”.

“Outlet perniagaan tidak penting dibenarkan dibuka ketika PKP tetapi pusat beli-belah kosong, membawa kepada pembaziran sumber.

“Kita hanya perlu bertahan kesukaran ini untuk tempoh pendek. Perniagaan kecil mungkin terpaksa tutup dan memberhentikan pekerja, tetpai keseluruhan sistem itu tidak akan runtuh. Negara ini perlu seimbang antara menguruskan pandemik dan ekonomi,” katanya.

Jika jumlah kes Covid-19 di luar kawalan, maka sistem ekonomi boleh runtuh akibat penutupan besar-besaran syarikat kecil dan sederhana (PKS), kata Koong.

“Sukar untuk membangunkannya semula kerana pelabur juga akan beralih ke negara jiran.”

Jika penutupan sepenuhnya diteruskan, kerajaan perlu melaksanakan semua langkah di bawah Belanjawan 2021 serta-merta, kata Koong.

“Kita tidak boleh tunggu hingga suku ketiga dan keempat tahun ini. Semuanya perlu dilaksanakan pada setengah tahun pertama, bagi membolehkan syarikat dan perniagaan ada sedikit ruang untuk bertahan.”

Kaji selidik dalam kalangan ahli ACCCIM yang dijalankan beberapa bulan terakhir ini ketika pelbagai fasa PKP mendapati kebanyakan PKS tidak mempunyai aliran tunai mencukupi bagi tempoh lebih tiga bulan, dan menggunakan semua simpanan mereka untuk kekal bertahan.

Bekas presiden Persatuan Rantaian Peruncit Malaysia (MRCA) Gary Chua berkata pasaran peruncit semakin teruk.

Pendapatan peruncitan merosot 50% ketika PKP pertama tahun lalu, ia jatuh lagi 20% pada masa ini, katanya.

Chua, yang juga pengerusi bahagian makanan dan minuman MRCA berkata restoran berada dalam keadaan nyawa-nyawa ikan kerana hanya bergantung kepada perkhidmatan bawa pulang.

Pesanan makanan bawa pulang tidak akan sebanyak pelanggan yang makan di restoran, kerana biasanya pelanggan cenderung memesan lebih banyak seperti hidangan pembuka selera, pemanis mulut dan minuman. – 27 Januari, 2021.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen