Isytihar darurat tidak semestinya gantung Parlimen, kata Jomo


Diyana Ibrahim Hailey Chung Wee Kye

Parlimen pernah digantung sekali susulan perisytiharan darurat akibat peristiwa berdarah 13 Mei 1969. – Gambar fail The Malaysian Insight, 26 Januari, 2021.

PERISYTIHARAN darurat tidak semestinya membawa kepada penggantungan Parlimen, kata Felo Kehormat Akademi Profesor Malaysia Jomo Kwame Sundaram.

Dalam konteks sejarah, jelasnya, Parlimen hanya digantung sekali susulan perisytiharan darurat akibat peristiwa berdarah 13 Mei 1969 kerana pada masa itu Parlimen belum pun dibuka, selepas pilihan raya umum beberapa hari sebelumnya.

Dalam pilihan raya umum itu, Perikatan (yang hari ini dikenali sebagai Barisan Nasional) kalah di beberapa negeri termasuk Selangor serta gagal menguasai dua pertiga di Parlimen.

“Tidak ada penggantungan Parlimen sebenarnya (apabila ada perisytiharan darurat). 

“Penggantungan Parlimen yang berkait dengan darurat hanya berlaku pada 1969 dan bukan berlaku pada 1966 (ketika perintah darurat di Sarawak),” katanya, semasa menyampaikan syarahan mengenai Wawasan 2020.

Parlimen yang digantung pada masa itu hanya bersidang semula pada 22 Februari 1971.

Syarahan bertajuk “Setelah Wawasan 2020: Sejarah dan Masa Depan Bangsa” dianjurkan oleh Akademi Profesor Malaysia, dan disiarkan secara langsung di Facebook.

Dalam syarahannya Jomo juga memberikan contoh bagaimana Parlimen tidak digantung ketika perintah darurat terkait dengan krisis Konfrontasi dengan Indonesia pada 1964.

Jelas Jomo, perkara ini perlu difahami kerana ada tanggapan umum pengisytiharan darurat secara automatik menggantung Parlimen.

Parlimen kini digantung mengikut Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 yang dimasyhurkan wartanya oleh Yang di-Pertuan Agong berkuat kuasa 11 Januari lalu.

Perkara 14 Ordinan Darurat 2021 menggantung peruntukan undang-undang berhubung dengan tindakan memanggil, memprorog dan membubarkan Parlimen. 

Ia sebaliknya memberi kuasa kepada Yang di-Pertuan Agong untuk berbuat demikian pada suatu tarikh yang baginda fikirkan sesuai.

Ordinan itu juga menggantung beberapa peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan, yang menyentuh kedudukan Parlimen dan keanggotaan Dewan Rakyat dan Dewan Negara.

Peguam Ramkarpal Singh hari berkata pihaknya semalam memfailkan satu tindakan di mahkamah bagi mencabar kuasa Perdana Menteri Muhyiddin Yassin menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk menggantung Parlimen di bawah perisytharan darurat,

Permohonan bagi pihak ketua pembangkang Anwar Ibrahim itu menamakan Muhyiddin selaku perdana menteri dan kerajaan Malaysia sebagai responden. – 26 Januari, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen