Malaysia mohon ekstradisi suspek seludup senjata di Pakistan


Desmond Davidson

Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi berkata polis akan memohon ektradisi dilakukan “secepat mungkin” di bawah perjanjian Bantuan Perundangan Bersama (MLA) antara Malaysia dan Pakistan. Al Muhd Alfie Kqhyriel kini berada dalam tahanan agensi perisikan negara itu, Pakistan Inter-Service Intelligence untuk soal siasat siasat. – Gambar fail The Malaysian Insight, 28 Disember, 2017.

MALAYSIA akan membuat permohonan ektradisi rakyat Malaysia berusia 20 tahun yang ditahan di Pakistan kerana cuba menyeludup senjata api dan bahan letupan keluar dari negara itu.

Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi berkata polis akan memohon ektradisi dilakukan “secepat mungkin” di bawah perjanjian Bantuan Perundangan Bersama (MLA) antara Malaysia dan Pakistan.

Zahid yang juga menteri dalam negeri berkata, permohonan itu bagi membolehkan polis Malaysia menyiasat, mendakwa dan menjatuhkan hukuman ke atas suspek kelahiran Kuching, Al Muhd Alfie Kqhyriel menurut peruntukan undang-undang Malaysia.

“Polis kini sedang bekerjasama dengan Interpol untuk mendapatkan lebih banyak maklumat mengenai penangkapan itu,” kata Zahid pada sidang media ketika melawat Kompleks Jabatan Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Tebedu.

Zahid berterima kasih kepada pihak berkuasa Pakistan kerana pantas mendedahkan penangkapan itu, sambil menambah yang Malaysia tidak akan bertolak ansur dengan sesiapa terutama sekali rakyatnya yang cuba menyeludup senjata.

Katanya, polis akan terus memantau penyeludupan senjata api ke negara ketiga.

Al Muhd ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Jinnah, Karachi pada 23 Disember ketika cuba menaiki penerbangan Thai Airways ke Malaysia melalui Bangkok.

Pihak berkuasa lapangan terbang menemui empat pucuk pisto, lapan kelopak peluru dan 70 butir peluru yang disembunyikan dalam beg dan kasutnya.

Dipercayai yang Al Muhd berada dalam tahanan agensi perisikan negara itu, Pakistan Inter-Service Intelligence (ISI) untuk soal siasat berkaitan senjata api itu dan kaitannya dengan kumpulan pengganas, IS.

Pada Sabtu, Ketua Polis Negara Mohamad Fuzi Harun berkata polis akan memohon Pakistan untuk mengusirnya pulang ke Malaysia. – 28 Disember, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen