DASAR Wawasan 2020 masih relevan, kata Jomo Kwame Sundaram, biarpun gagasan sejak awal dekad 1990-an itu dianggap gagal mencapai matlamatnya yang disasarkan pada tahun lalu.
Wawasan yang digagaskan oleh bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad itu masih boleh diterapkan dalam Wawasan Kemakmuran Bersama atau dasar kerajaan yang seterusnya, kata pakar sains sosial yang mengulas syarahan Jomo mengenai Wawasan 2020.
Dalam syarahannya, Jomo berkata beberapa aspek Wawasan 2020 dikemukakan untuk menyelesaikan isu produktiviti dan penguasaan teknologi telah diabaikan sebelum ini.
“Bagi saya, wawasan 2020 masih amat relevan, kerana perubahan-perubahan yang dilakukan… apa implikasinya dari segi budaya dan cara berfikir dan sebagainya.
“Ini yang disentuh dalam Wawasan 2020, yang malangnya tidak dihiraukan,” kata Jomo dalam syarahannya.
Syarahan bertajuk “Setelah Wawasan 2020: Sejarah dan Masa Depan Bangsa” dianjurkan oleh Akademi Profesor Malaysia, dan disiarkan secara langsung di Facebook.
Menurut Jomo, kelemahan dasar kerajaan sebelum ini menyebabkan wujudnya eksploitasi pasaran ke atas buruh asing di negara ini.
Beliau memetik kenyataan bekas menteri sumber manusia Richard Riot yang mendedahkan lebih kurang 4.5 juta pekerja asing di Malaysia tidak mempunyai dokumen sah.
“Mereka sanggup bekerja dengan keadaan kerja yang cukup teruk untuk kadar gaji yang agak rendah,” katanya, yang menyifatkan keadaan itu sebagai cerminan eksploitasi yang cukup tinggi.
Gaji yang rendah kepada buruh asing juga memberi kesan kepada nasib pekerja tempatan yang turut menerima gaji rendah, tambah Jomo, dan seterusnya memberi kesan kepada kemajuan teknologi.
“Dari tahun 1980, kita masih ingat terdapat cadangan kutip buah kelapa sawit dengan mesin, tetapi sampai sekarang, itu tidak banyak berkembang, sebabnya, ada buruh yang sanggup terima gaji yang buruk,” katanya.
Jomo juga memetik satu kajian oleh Institut Strategik dan Kajian Antarabangsa (ISIS) yang mendapati ada buruh dalam kalangan rakyat tempatan yang dibayar upah kurang RM1,000 sebulan, dan itu berlaku sebelum penularan pandemik Covid-19.
“Keadaan ini akan berterusan selagi kita mempunyai pandangan yang sempit,” katanya.
Wawasan Kemakmuran Bersama diperkenalkan semasa pentadbiran Pakatan Harapan yang menetapkan sasaran pengagihan ekonomi lebih adil dan saksama menjelang tahun 2030.
Teruskan idea besar Wawasan 2020
Dalam ulasannya terhadap syarahan Jomo, Prof Emeritus Abdul Rahman Embong berkata semangat dan inti pati Wawasan 2020 sepatutnya diteruskan dalam gagasan kerajaan yang kemudian daripadanya.
Penasihat Persatuan Sains Sosial Malaysia berkata Wawasan 2020 selama ini adalah simbol harapan dan inspirasi untuk perubahan lebih baik, yang bersifat kesatuan yang meliputi segenap masyarakat.
“Idea besar wawasan 2020 patut diteruskan dalam apa juga wawasan yang akan menggantikan selepas ini kerana ia dapat mengatasi rasa kecewa rakyat, yang risau dengan keadaan tidak menentu kerana ekonomi dan Covid-19.
“Ia jimatkan masa untuk terus ke hadapan,” katanya.
Tidak jauh beza
Sementara itu, Canselor University of Cyberjaya Prof Emiritus Dr Anuwar Ali berkata Wawasan Kemakmuran Bersama dari segi matlamatnya tidak jauh berbeza dengan Wawasan 2020.
“Prinsipnya jelas bahawa kita hendak kemajuan yang mencorakkan penduduk kita dan kemakmuran yang boleh dikongsi semua lapisan masyarakat,” katanya.
Jelas beliau, masalah yang berlaku bukannya pada dasar tetapi penyampaian dasar yang menggagalkan pelaksaannya.
Politik identiti bangsa
Dalam syarahannya Jomo turut mengupas sejarah idea identiti bangsa dalam Wawasan 2020 yang pada pandangannya bermula daripada gagasan identiti yang dikemukakan oleh pejuang kemerdekaan haluan kiri seperti Burhanuddin al-Helmy dan Ahmad Boestamam.
Katanya, pengharaman parti politik Melayu selain Umno sebelum Merdeka dan penangkapan pemimpinnya sekali gus mengubah politik yang berteraskan ideologi atau fahaman kepada politik perkauman.
“Apabila hilangnya politik berasaskan fahaman kita dapati politik perkauman pula bermaharajela ini dan ini membawa kepada peristiwa 13 Mei 1969,” katanya.
Jelas Jomo lagi, isu ketuanan Melayu-Islam yang ketara dalam wacana politik sekarang tidak memajukan wawasan ke arah satu identiti bangsa berasaskan semangat sayangkan negara.
Beliau merujuk kepada penubuhan kerajaan Perikatan Nasional yang menggabungkan Bersatu, PAS, dan Umno dengan agendanya mengangkat kepentingan Melayu Islam.
“Malangnya konsep ketuanan Melayu Muslim itulah asasnya (pembentukan PN) dan dengan sendiri kita telah terikat dengan pemikiran kolot yang tak akan bawa kita ke mana-mana,” katanya. – 26 Januari, 2021.
Komen