PESAKIT Covid-19 yang dirawat di hospital swasta perlu menanggung sendiri kos rawatan mereka, kata Presiden Persatuan Hospital Swasta Malaysia (APHM) Dr Kuljit Singh.
Beliau berkata kos rawatan perlu ditanggung pesakit sendiri atau melalui perlindungan insurans sekiranya syarikat insurans menyediakan perlindungan untuk pandemik Covid-19.
Menurut Dr Kuljit, kos bagi rawatan Covid-19 adalah sama seperi rawatan kos jangkitan virus lain.
“Hospital swasta akan mengenakan caj sama bagi jangkitan virus lain seperti H1N1 atau radang paru-paru, cajnya kekal,” beliau memberitahu The Malaysian Insight.
Dr Kuljit juga berkata caj yang akan dikenakan bergantung kepada hospital itu sendiri.
Dalam satu perkembangan berkaitan, Ketua Setiausaha Negara Mohd Zuki Ali mekanisme pembiayaan pesakit Covid-19 oleh pihak insurans di hospital swasta sedang diperhalusi oleh Kementerian Kewangan, Kementerian Kesihatan (KKM), Bank Negara Malaysia dan industri insurans.
“Buat masa ini, peranan sektor swasta diperkasakan bagi merawat pesakit Covid-19 yang mampu membiayai sendiri kos perubatan dan rawatan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah minggu lalu berkata pesakit daripada kalangan ekspatriat dan mereka yang berada dalam komuniti perniagaan boleh mendapatkan rawatan Covid-19 di hospital swasta.
Beliau berkata hospital swasta boleh menerima pesakit Covid-19 yang kurang teruk dalam Kategori 1, 2 dan 3 tanpa merujuk kepada pusat kesihatan KKM.
Sebanyak 95 hospital swasta telah bersetuju untuk merawat pesakit Covid-19, katanya.
Perdana Menteri Muhyiddin Yassin ketika pengumuman khas darurat pada 12 Januari lalu berkata proklamasi darurat memberi kuasa lebih besar kepada kerajaan untuk mengekang pandemik Covid-19, termasuk mengambil alih aset dan tenaga hospital swasta.
Melalui Ordinan Darurat, bantuan yang boleh diperolehi dari pihak swasta meliputi sumber manusia, kepakaran fasiliti, aset makmal ujian dan utiliti, katanya. – 26 Januari, 2021.
Komen