Pendidikan yang hilang di pandangan


SUDAH lebih setahun dunia dicemari oleh wabak Covid-19 yang saban hari semakin membimbangkan. Jumlah rekod kematian dunia juga telah melebihi 2 juta. Kini Malaysia juga turut mencatatkan rekod kes harian yang tinggi, sebanyak 4 angka saban hari.

Sepertinya, pandemik ini tiada penghujung sehingga vaksin berjaya digunakan. Norma baharu yang diterapkan kini menjadi norma biasa. Memakai pelitup muka, menjaga jarak sekurang-kurangnya 1 meter dan sentiasa mencuci tangan merupakan langkah pencegahan yang perlu sentiasa diamalkan oleh semua kini sudah menjadi langkah normal yang perlu diikuti.

Baru-baru ini, menteri kanan pertahanan mengumumkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 di seluruh negeri kecuali Sarawak. Hal ini memberi kesan yang besar terhadap pelbagai sektor, terutamanya pendidikan.

Pada awal Januari lalu, perdana menteri mengumumkan sekolah akan beroperasi pada 20 Januari, 2021 seperti yang tertera dalam takwim yang diumumkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) pada 8 November, 2020.

Namun begitu, perancangan ini berubah apabila pada 11 Januari, 2021 KPM melalui satu kenyataan media mengumumkan sekolah hanya dibuka buat pelajar yang akan menghadapi peperiksaan besar, seperti pelajar Tingkatan 5 (2020) yang akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada 2021.

Manakala murid yang tidak menduduki peperiksaan besar, perlu mengikuti pembelajaran melalui kaedah Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

Keputusan yang berubah pada minit akhir menyukarkan ramai pihak terutama ibu bapa yang bekerja. Mereka perlu memastikan anak mendapat akses pembelajaran dalam talian semasa waktu persekolahan berlangsung dan dalam masa yang sama mereka harus bekerja.

Ibu bapa juga perlu menguruskan penempatan anak ketika bekerja kerana mereka tidak boleh sewenangnya membawa anak ke tempat kerja. Lebih-lebih lagi dengan undang-undang PKP yang hanya membenarkan dua orang dalam sebuah kereta.

Namun, bagi mengekang wabak Covid-19 daripada terus merebak dan melanda, arahan yang diberikan tetap diterima dengan baik oleh ramai. Namun, alangkah lebih baik lagi jika pihak KPM dapat menyediakan satu prosedur operasi standard  (SOP) yang selaras dalam menjayakan PdPR.

Perkara sebegini akan memudahkan urusan warga pendidik dan tidak terkapai-kapai dalam menentukan tatacara PdPR buat pelajar. Bukan sekadar membuat pemakluman PdPR perlu dilaksanakan tanpa sebarang penjelasan, ibarat melepaskan batuk di tepi tangga.

Berapa lama lagi masa yang diperlukan pihak Kementerian Pendidikan untuk membentangkan tatacara PdPR yang sesuai dijalankan buat guru dan murid? Adakah cukup hanya dengan memperkenalkan TV Pendidikan?

Setahun sudah berlalu, alasan “masih dalam kajian” dan “akan dipertimbangkan” sudah lapuk dan tidak boleh diguna pakai. Seharusnya, pihak KPM bergerak lebih progresif dalam menangani masalah pendidikan yang dihadapi semasa musim pandemik ini.

KPM juga perlu berfikir jauh, dengan kes Covid-19 yang masih belum surut, kebarangkalian PdPR perlu berlangsung sehingga hujung 2021 juga tinggi.

Adakah KPM akan terus menjalankan tanggungjawab hanya dengan memaklumkan dalam siaran langsung bahawa PdPR perlu diteruskan?

Jika begitu, maka malanglah nasib anak-anak ini kerana hak mereka mendapat pendidikan yang efektif terbantut.

Bagaimana dengan nasib anaanak yang mengalami masalah untuk akses kelas dalam talian?

Anak yang tidak mempunyai peranti cukup untuk menjalankan kelas dalam talian, anak yang tercicir daripada pendidikan kerana masalah ekonomi yang dihadapi oleh keluarga mereka, serta anak yang kekurangan peralatan persekolahan seperti buku dan alat tulis. Bagaimanakah nasib anak ini?

Ini yang sepatutnya perlu diusahakan dan diambil perhatian oleh KPM bagi memastikan tiada yang tercicir dalam pendidikan.

Percayalah satu detik nanti, anak sekolah ini akan mentadbir negara. Namun, jika mereka gagal mendapat pendidikan yang selayaknya, pembangunan negara juga akan terbantut. Semestinya perkara ini perlu dielakkan.

Justeru itu, KPM perlu mengambil tindakan segera bagi mengurangkan masalah anak yang tercicir pendidikan. – 25 Januari, 2021.

* Ajda Nuha Ahmad Daniel ialah pendidik dan aktivis sebuah badan pemikir mengenai dasar.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen