PEMAIN tenis nombor satu dunia, Rafael Nadal menarik diri daripada Kejohanan Antarabangsa Brisbane kerana kecederaan lutut tetapi mengatakan beliau masih berhasrat bermain dalam Terbuka Australia bulan depan.
Pemain Sepanyol itu yang tidak bermain sejak kalah kepada David Goffin pada pusingan Akhir Jelajah Dunia di London dijadualkan memulakan musimnya di Brisbane hujung minggu ini tetapi di saat-saat akhir menarik diri.
“Saya minta maaf untuk umumkan yang saya tak akan pergi ke Brisbane tahun ini,” kata Nadal menerusi akaun Twitternya.
“Saya berhasrat untuk bermain tetapi masih belum bersedia selepas musim panjang tahun lepas dan lewat melakukan persiapan.”
Bagaimanapun, Nadal mengatakan beliau masih mahu bermain dalam pertandingan Grand Slam tahun ini bermula di Melbourne pada 15 Januari nanti.
Laporan mengenai Nadal masih belum sembuh sepenuhnya daripada kecederaan lututnya timbul minggu lepas selepas beliau menarik diri daripada satu majlis di Abu Dhabi minggu ini dan mengambil cuti empat hari daripada berlatih.
Nadal, 31, beraksi cemerlang pada 2017, menjuarai Terbuka Perancis untuk kali ke-10, Terbuka AS untuk kali ketiga dan menamatkan musim dengan berada pada kedudukan pertama pemain tenis dunia.
Nadal juga meraih dua gelaran Masters di Monte Carlo dan Madrid, menamatkan musim tahun ini dengan enam kemenangan.
Juara 16 kali Grand Slam itu juga memastikan kedudukannya sebagai pemain nombor satu dunia buat kali keempat. – AFP, 28 Disember, 2017.
Komen