.jpg)
KEBERANIAN dan kelantangan rakyat menggesa sesetengah pemimpin yang sudah tidak berdaya dan berupaya memimpin supaya berundur dari tampuk kepimpinan parti, negeri mahupun negara harus dipuji.
Ini menunjukkan kebebasan bersuara serta kematangan rakyat dalam berfikir, berpolitik dan secara tidak langsung memainkan peranan menyemak dan menyeimbangkan barisan pemerintahan.
Marilah kita membuka pandangan dan paradigma dengan melihat tampuk kepimpinan politik dan pentadbiran negara luar dan jiran.
Di negara maju dan negara jiran apabila rakyat atau ahli parti membuat gesaan mengundur diri maka ia adalah satu isyarat penting bahawa pemimpin yang ditujukan tidak mampu menggalas tanggungjawab atau sudah tidak mampu lagi bersoal-jawab dengan rakyatnya.
Sebagai contoh di United Kingdom, Perdana Menteri David Cameron pernah meletakkan jawatan atas referendum rakyatnya yang mahukan Brexit dan berasa tidak mampu mengepalai negaranya ketika itu.
Begitu juga negara lain seperti Jepun, Korea Selatan, Taiwan dan sebagainya.
Walaupun negara pernah menyaksikan beberapa peletakan jawatan oleh pemimpin kanan politik, budaya ini masih jarang diamalkan.
Mantan perdana menteri dan mantan menteri ini meletakkan jawatan apabila sudah dirasakan tidak mampu memimpin atau terpalit skandal peribadi dan sebagainya.
Oleh itu sebelum ia menjadi barah yang kelak menyukarkan rawatan kemudian maka seharusnya pemimpin ditukar sebelum keadaan menjadi lebih sukar.
Pemimpin yang berjiwa besar, jujur, amanah dan berintegriti seharusnya apabila digesa undur diri perlulah melakukan muhasabah diri.
Mereka juga perlu mendapatkan respon dari akar umbi dan bukannya bertindak mementingkan diri atau syok sendiri.
Ini kerana kepemimpinan merupakan amanah dan bukanlah harta rampasan perang yang boleh dibahagi-bahagikan atau harta warisan yang boleh diwasiatkan.
Seharusnya tampuk kepimpinan seterusnya dipilih dari orang yang terpercaya dan berwibawa bukanlah juga rakan sebaya atau sahabat karib pemimpin yang digesa berundur.
Harus diingat berundur dengan meletakkan jawatan bukanlah bermaksud kurang harga diri pemimpin tetapi menampakkan iltizam dalam menjayakan visi dan misi yang tidak tercapai.
Ia juga menunjukkan integriti dengan mengambil tanggungjawab atas ketidakcapaian tersebut.
Ini kurangnya dilihat dalam kepimpinan kini, yang menyukarkan budaya letak jawatan direalisasikan.
Sejarah politik negara kita tidak kurang warna-warninya setanding negara lain. Adasekutu rapat menjadi musuh ketat, ada musuh ketat menjadi sekutu rapat pula.
Dulunya masing-masing gah dan melaungkan slogan dan prinsip dan saling tidak kalah antara satu sama lain.
Ini membuktikan bahawa politik itu berputar seperti roda juga terkadang di atas, terkadang pula di bawah.
Untuk kaki ampu dan kaki bodek, yang mentadbir tanpa berdasarkan kemampuan dan kebolehan diri, sudah-sudahlah hidup seperti parasit.
Makin melekat makinlah sakit, takut bila pohon tumbang, maka parasit pun hidup terbuang.
Hiduplah dengan jujur dan amanah, kerana jika benar kita mempunyai kemampuan diri, maka tidaklah perlu menonjolkan diri.
Mereka yang seperti permata maka pastilah ternampak sinarnya. Janganlah pula jadi seperti kaca acah-acah permata, zahirnya nampak cantik, dilihat dekat hanya kaca.
Jawatan seharusnya tidak diberi kepada mereka yang meminta-minta tetapi kepada yang berwibawa dan mampu bekerja.
Ramai pemimpin mampu bersandiwara menunjuk mereka kononnya bekerja tetapi hanya pengundinyalah yang tahu hakikat sebenarnya.
Antara drama politik dan hakikat sebenar, maka sudah masanya pemimpin bekerja untuk rakyat daripada main sandiwara.
Selain itu persepsi dan pemikiran masyarakat juga perlu diubah ke arah yang lebih kritis dan terkedepan.
Menggesa perletakan jawatan, bukanlah suatu yang memalukan tetapi suatu langkah murni agar negara dipimpin oleh mereka yang lebih berkemampuan.
Masyarakat harus berpandangan bahawa ini menunjukkan integriti, dan jati diri pemimpin tersebut.
Pemimpin itu pula perlu maklum ruang menggalas amanah harus diberi kepada yang lain untuk meneruskan teraju pemerintahan politik atau parti.
Pemimpin yang ditegur harus berlapang dada, berjiwa besar dan bermuhasabah bahawa jawatan adalah amanah rakyat dan tidak hanya memikirkan kepentingan peribadi.
Bersama-samalah kita membangunkan negara dengan cara yang lebih kritis, minda yang membangun dan terkedepan, setanding negara maju. – 24 Januari, 2021.
*Noor Dzuhaidah Osman pensyarah kanan, Fakulti Syariah dan Undang-undang, Universiti Sains Islam Malaysia.*
* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.
Komen