TAHUN 2020 mengajarkan kita banyak perkara yang selama ini tidak terlalu kita perhatikan. Barangkali sudah menjadi lumrah manusia – perlu terhantuk barulah mereka akan menyedari hakikat sebenar.
Salah satu perkara terpenting yang saya pelajari tahun lepas adalah perubahan politik tidak akan terjadi tanpa ada usaha untuk melakukan perubahan sosial.
Keadaan politik di Malaysia memperlihatkan kita terlalu bergantung kepada individu yang ada dalam politik. Keadaan ini menyebabkan rakyat kelihatan terlalu lemah, dan ahli-ahli politik seperti raksasa di negara ini.
Saya yakin; saya bukanlah satu-satunya orang yang kecewa dengan sesetengah individu yang sebelum menceburi bidang politik kelihatan pintar, tapi setelah menjadi wakil rakyat atau menteri – mereka terjangkit sindrom dungu.
Apa itu perubahan sosial?
Ada banyak pengertian perubahan sosial yang ada di luar sana; sebahagian sosiologis berpandangan perubahan sosial adalah perubahan interaksi di antara manusia yang akan membawa kepada perubahan budaya dan institusi sosial.
Saya fikir definisi ini boleh dimudahkan dengan perubahan pemikiran, budaya dan institusi dalam kalangan masyarakat kita.
Saya harap masyarakat telah belajar tentang kebergantungan menyeluruh kepada individu – terutamanya dalam hal pentadbiran – akan membawa kepada kecelakaan.
Kita tidak boleh beranggapan manusia akan “baik-baik” sahaja apabila mendapatkan kuasa.
Seseorang mungkin boleh memiliki serban yang tebal, atau tidak beragama sama-sekali – kekuasaan tetap mampu menembusi prinsip dan amanah yang mereka miliki.
Oleh itu, untuk menjadi sebuah masyarakat yang besar, kita perlu menyediakan satu keadaan yang menyukarkan mana-mana biawak hidup untuk menjadi ahli politik atau pemimpin masyarakat.
Seseorang yang baik mungkin akan mengambil rasuah apabila keadaan mengizinkan untuk dia berbuat demikian – dan orang yang jahat mungkin akan mengalami kesukaran untuk menjadi korup jika keadaan tidak memungkinkan untuk dia berbuat demikian.
Sekali lagi saya tegaskan; kita tidak boleh mempercayai “sifat baik” manusia kerana ia mudah tercemar.
Untuk mencipta keadaan yang saya sebutkan ini, perubahan sosial diperlukan. Perjalanan untuk membawa perubahan sosial dalam masyarakat kita masih jauh dan penuh berliku, namun ia adalah apa yang kita perlu lakukan bermula hari ini.
Pertama sekali ia melibatkan perubahan pemikiran yang drastik dalam masyarakat kita.
Apa jua usaha perlu dilakukan untuk memastikan masyarakat kita tidak mudah terjebak dalam perangkap sentimen perkauman dan keagamaan. Ia sudah berkali-kali disebutkan – malangnya ada kumpulan yang katanya menentang rasisme, tetapi kumpulannya yang paling rasis!
Rasisme perlu dihapuskan di kedua-dua segmen masyarakat; baik bangsa majoriti yang kerap terpancar sifat rasisnya, atau masyarakat minoriti yang hanya mahu menerima kumpulan mereka sahaja.
Kedua-dua kumpulan harus mengadakan perbincangan yang jujur tentang hal ini.
Cuma sebelum melompat ke gagasan pemikiran yang baharu – cabaran-cabaran rakyat Malaysia harus dijawab terlebih dahulu. Isu periuk nasi rakyat adalah isu yang harus dijadikan tumpuan utama “generasi baharu” yang mahu terjun ke alam politik.
Saya pasti – dengan perut yang lapar – keterdesakan akan membuatkan kita sukar untuk berfikir dengan waras dan cenderung bergantung kepada ahli politik yang populis dan oportunis.
Apa usaha yang kita oleh lakukan untuk mempertingkatkan rakyat di kelas pertengahan?
Kita harus membantu mereka yang susah untuk sekurang-kurangnya mampu berdikari dan kurang bergantung kepada kerajaan – namun ia tidak mudah.
Proses anjakan paradigma bangsa ini akan memakan masa yang panjang dan berliku, sehingga ramai yang mengambil keputusan untuk membiarkan keadaan yang berlaku tanpa cuba melakukan sesuatu.
Langkah pertama yang kitab oleh lakukan adalah menyedarkan rakyat tentang apa sebenarnya peranan wakil rakyat, kerajaan dan pembangkang dalam system demokrasi negara kita.
Ia hal asas yang perlu dibereskan sebelum kita ingin bercakap hal-hal yang lebih rumit seperti ideologi politik atau perkembangan ekonomi.
Masih ramai yang melihat ahli-ahli politik seperti malaikat yang diutus tuhan, sehingga mereka perlu ‘disembah’ apabila masuk ke kampung-kampung.
Untuk menjamin Malaysia yang lebih baik, rakyat wajib mewujudkan suasana yang menyebabkan ahli politik takut untuk melakukan hal-hal dungu dan populis semata-mata.
Keadaan yang memperlihat rakyat akan menolak wakil rakyat yang tidak tahu bekerja dan hanya membazirkan wang rakyat! – 24 Januari, 2021.
* Rahman Imuda merupakan seorang penulis dan aktivis buruh.
* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.
Komen