Guatemala tak ditekan AS pindah kedutaan ke Baitulmaqdis


Baitulmaqdis menjadi tempat rebutan antara Israel dan Palestin, kunci kepada perjanjian damai. Tindakan AS dan Guatemala memindahkan kedutaan mereka dari Tel Aviv ke sana mendapat kecaman antarabangsa. – Gambar EPA, 28 Disember, 2017.

AMERIKA Syarikat tidak memberi tekanan kepada Guatemala untuk mengumumkan pemindahan kedutaannya ke Baitulmaqdis, kata Kementerian Luar Negara itu pada Rabu.

“Tiada tekanan. Tiada desakan dari Amerika Syarikat untuk pastikan perkara ini berlaku. Ini adalah keputusan kerajaan, dasar luar negara Guatemala,” kata Menteri Sandra Jovel pada satu sidang media di Guatemala.

Pengesahan itu susulan pengumuman Presiden Guatemala Jimmy Morales pada Ahad yang negara itu akan mengikut jejak AS memindahkan kedutaan di Israel dari Tel Aviv ke Baitulmaqdis.

Pengumuman itu menjadikan Guatemala adalah negara pertama, dan satu-satunya negara setakat ini yang mengikut keputusan Presiden AS Donald Trump memindahkan kedutaan mereka ke bandar suci yang menjadi rebutan itu.

Guatemala, seperti AS, tidak memberikan tarikh sebenar bilakah pemindahan itu akan dilakukan.

Tetapi langkah penuh kontroversi itu yang sedang berdepan konsensus antarabangsa tentang status Baitulmaqdis hanya boleh dilaksanakan menerusi rundingan damai antara Israel dan Palestin.

Minggu lepas, 128 negara ahli PBB menolak keputusan Trump mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu kota Israel.

Hanya sembilan negara mengundi menentang resolusi Majlis Keselamatan PBB: AS, Israel, Guatemala, Honduras, Kepulauan Marshall, Micronesia, Nauru, Palau dan Togo.

Negara lain ada yang tidak hadir atau tidak memberikan undi mereka.

AS memberi amaran ia akan mempertimbangkan pemotongan bantuan kewangan kepada negara yang mengundi menerima resolusi itu.

Jovel pada sidang media itu berkata: “Kami tak terima tekanan mana-mana negara, kerana kami adalah rakan sekutu lama dengan Israel…kami tak minta apa-apa dari Israel atau AS.”

Kerajaannya menegaskan yang kedutaan itu bukanlah “dipindahkan” tetapi “kembali” ke Baitulmaqdis, tempat asalnya sebelum dipindahkan ke Tel Aviv pada 1978.

Beberapa negara Amerika Latin mempunyai kedutaan di Baitulmaqdis sehingga 1980 selepas Majlis Keselamatan PBB mengecam cubaan Israel untuk mengubah “karakter dan status” bandar itu, mengatakan ia menghalang proses damai.

Jovel berkata rancangan untuk meletakkan kedutaan di Baitulmaqdis sudah dipertimbangkan sejak lima bulan lepas dan beberapa perkara berlaku dalam tempoh itu termasuklah resolusi PBB membuktikan sekarang adalah masa yang tepat.

Kenyataan terbaru Guatemela itu susulan kritikan Kementerian Luar Palestin yang mengatakan negara itu sangat bergantung kepada perdagangan dan bantuan AS.

Morales, seperti Trump adalah bekas personaliti TV dipilih menjadi presiden yang berjanji melakukan perubahan.

Masa depan politiknya kini terancam selepas agensi disokong PBB bekerjasama dengan pendakwa raya Guatemala untuk menyiasat dakwaan korupsi terhadapnya.

Israel mahukan Baitulmaqdis sebagai ibu kotanya, sementara Palestin juga menganggap bahagian timur Baitulmaqdis sebagai bakal ibu kota negara mereka.

Israel merampas bahagian timur Baitulmaqdis pada Perang Enam Hari 1967, tindakan yang sehingga kini tidak diiktiraf masyarakat antarabangsa.

Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu mengatakan pengumuman AS dan Guatemala adalah “satu permulaan” dan menjangka “lebih banyak negara akan mengikutinya.”

Kesatuan Eropah menafikan akan wujud perubahan dalam pendiriannya.

Presiden Rusia Vladimir Putin dan Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan mengatakan mereka menyokong pembentukan negara Palestin. – AFP, 28 Disember, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen