Unsur penipuan jelas dalam skandal tanah Felda Jalan Semarak


Amin Iskandar

Timbalan Presiden Persatuan Guaman Hartanah Malaysia (HartaGuam), Salkukhairi Abd Shukor berkata pemaju berkenaan, Synergy Promenade Sdn Bhd, pertama, tidak sepatutnya memindahkan hak milik tanah tersebut kerana ia hanya dilantik untuk memajukannya. Tanda kedua, kata peguam itu, pindah milik tanah empat bidang tanah tersebut tidak melibatkan sebarang bayaran. – Gambar The Malaysian Insight, 28 Disember, 2017.

UNSUR penipuan dapat dilihat dengan jelas dalam skandal melibatkan tanah Felda di Jalan Semarak, Kuala Lumpur, kata seorang peguam hartanah terkemuka yang mengesan sekurang-kurangnya dua hal yang tidak kena dalam urusan pindah hak milik aset berkenaan.

Timbalan Presiden Persatuan Guaman Hartanah Malaysia (HartaGuam), Salkukhairi Abd Shukor berkata pemaju berkenaan, Synergy Promenade Sdn Bhd, pertama, tidak sepatutnya memindahkan hak milik tanah tersebut kerana ia hanya dilantik untuk memajukannya.

Tanda kedua, kata peguam itu, pindah milik tanah empat bidang tanah tersebut tidak melibatkan sebarang bayaran.

“Menurut pengerusi Felda sendiri (Shahrir Samad), Felda setakat ini tidak menerima apa-apa bayaran pun sebagai balasan daripada berlakunya pindah milik tersebut.

“Jadi, mana mungkin pemilik tanah memberikan kuasa pindah milik tanpa sebarang balasan yang bernilai (valuable consideration). Di situlah pada pandangan saya boleh ditafsirkan wujudnya elemen fraud (penipuan) tersebut,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Synergy Promenade dilantik oleh Felda Investment Corporation (FIC) sebagai pemaju untuk membangunkan Kuala Lumpur Vertical City (KLVC) di atas tanah milik syarikat induknya, Felda yang kemudian mengeluarkan surat wakil kuasa kepadanya.

Synergy Promenade kemudian menjual empat bidang tanah berkenaan kepada syarikat itu sendiri, seperti yang disahkan oleh Shahrir pada sidang medianya minggu lalu.

KLVC adalah projek pembangunan tujuh menara di atas tanah tapak ibu pejabat Felda lama dan dua bangunannya, Anjung Felda dan Wisma Felda. Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) setakat ini sudah meluluskan pembinaan menara yang dikenali sebagai KLVC Tower 1A setinggi 68 tingkat.

Laporan media menyebut menara berkenaan dianggarkan bernilai lebih kurang RM107 juta itu dan dijangka siap pada Ogos 2019.

Empat bidang tanah milik institusi seluas lebih kurang 6.6 hektar itu dianggarkan bernilai RM270 juta ketika hak miliknya dipindahkan, sejak 2015.

Pindah milik tanah itu berlaku di empat bidang tanah yang sebelum ini menempatkan ibu pejabat lama Felda dan dua bangunannya, Anjung Felda dan Wisma Felda. Gambar menunjukkan koridor bangunan Anjung Felda, Jalan Semarak. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 28 Disember, 2017.

Berita Harian minggu lalu dalam laporan pendedahannya menyebut keputusan melantik syarikat pemaju itu dibuat oleh FIC pada Jun 2014, tetapi hanya dimaklumkan kepada Lembaga Pengarah Felda tiga bulan kemudian, iaitu pada 2 September 2014 untuk kelulusan secara retrospektif.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), yang meneliti kes ini sejak beberapa bulan lalu, mengatakan tidak ada unsur rasuah dalam urus niaga melibatkan tanah Felda di Jalan Semarak. Ia sebaliknya lebih kepada soal kelemahan tadbir urus dan pecah amanah, kata Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Azam Baki.

Timbalan Ketua Polis Negara, Noor Rashid Ibrahim semalam berkata bekas Pengerusi Felda, Isa Samad akan dipanggil bagi membantu siasatan berhubung kontroversi pindahmilik tanah Felda Jalan Semarak ini minggu depan. Pada waktu kejadian, Isa juga mempengerusikan FIC.

Sementara itu, Salkukhairi berkata untuk mendapatkan balik tanah tersebut dengan memfailkan saman pemula dan mendapatkan perisytiharan mahkamah bahawa pindah milik itu tidak sah di sisi undang-undang.

“Sekiranya mahkamah mengisytiharkan pindah milik itu tidak sah seperti wujudnya elemen penipuan dan sebagainya, mahkamah berhak mengarahkan pejabat tanah membatalkan pemilikan tanah tersebut dan tanah itu perlu dikembalikan kepada Felda,” katanya.

Pakar undang-undang tanah, Profesor Salleh Buang dalam satu tulisannya di Berita Harian baru-baru ini menjelaskan Kanun Tanah Negara 1965 memberi ruang kepada mana-mana pihak untuk mempertikaikan status hak milik tanah sekiranya ada unsur-unsur yang tidak kena seperti penipuan, pemalsuan serta pengaruh yang tidak wajar.

“Tindakan oleh mana-mana pihak mempertikai dan mencabar hak milik yang sudah didaftarkan itu mestilah dibuat sebelum tanah berkenaan dipindah milik sekali lagi kepada pihak ketiga.

“Andainya tanah itu telah dipindah milik kepada pihak ketiga (seorang pembeli bona fide), tindakan mencabar atau mempersoalkan pindah milik sudah terlambat,” tulis Salleh.

Shahrir minggu lalu juga memaklumkan Felda sudah memasukkan kaveat ke atas empat bidang tanah itu untuk mengisytiharkan kepentingannya ke atas aset itu.

Menurut Salkukhairi, sekiranya Felda membawa kes ini ke mahkamah, keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes Adorna Properties Sdn Bhd lawan Boonsom Boonyanit boleh digunakan sebagai duluan (precedent).

Skandal terbaru ini adalah rentetan pelbagai siri skandal melanda Felda tahun ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 28 Disember, 2017.

Pada 21 Januari 2010, Mahkamah Persekutuan menukar keputusan yang yang dibuat panel tiga hakim yang diketuai mantan Ketua Hakim Negara Eusoff Chin pada 2000.

Keputusan itu membuka peluang kepada pemilik tanah yang kehilangan tanah mereka secara tidak sah mendapatkan hartanah mereka semula.

Salkukhairi berkata, dalam kes Felda ini, syarikat yang “membeli” atau menerima pindah milik tersebut bukanlah tergolong sebagai deferred purchaser yang membolehkan mereka dilindungi oleh undang-undang sebagai pembeli bona fide.

“Maka jika kes yang diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan itu dirujuk, hak Felda sebagai tuan tanah pasti akan dilindungi kerana undang-undang kini telah memberikan hak yang lebih kepada pemilik asal hartanah yang ditipu,” katanya.

Felda sudah membuat laporan polis, memasukkan kaveat ke atas tanah itu dan berunding dengan Synergy Promenade untuk memperoleh semula hak milik berkenaan.

Menurut Salkukhairi, selain menggunakan mahkamah, Felda boleh juga melihat kembali terma-terma penting dalam kontrak yang ditandatangani sebelum ini dan cuba berunding semula untuk menyemak balik kontrak tersebut.

“Dengan syarat, rundingan tersebut mestilah tidak menjejaskan hak dan kepentingan Felda.

“Dan ianya tidak sama sekali menjejaskan hak Felda untuk mengambil tindakan perundangan yang sewajarnya,” katanya. – 28 Disember, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen