Jepun tetap anjur sukan Olimpik


Perdana Menteri Yoshihide Suga nekad merealisasikan sukan Olimpik yang selamat. – Gambar EPA, 22 Januari, 2021.

PERDANA Menteri Jepun menegaskan “nekad” mengadakan Olimpik Tokyo ketika penganjur pada Jumaat menafikan laporan yang mendakwa para pegawai berpendapat pembatalan tidak dapat dielakkan.

Perdana Menteri Yoshihide Suga berkata temasya sukan yang ditangguhkan berada di landasan betul selepas The Times memetik sumber kerajaan yang tidak disebutkan namanya berkata Jepun mengalihkan fokusnya untuk menjadi tuan rumah pada 2032.

“Saya nekad untuk merealisasikan Sukan Tokyo yang terjamin dan selamat sebagai bukti manusia akan mengatasi virus itu,” kata Suga pada Jumaat, tanpa secara menyangkal laporan The Times.

Penganjur Tokyo 2020, ketika ditanya mengenai laporan itu, berkata mereka fokus untuk melaksanakan sukan yang “selamat dan terjamin”.

“Perdana Menteri Suga menyatakan kesungguhannya untuk mengadakan temasya tersebut, kerajaan mengetuai beberapa mesyuarat koordinasi bagi langkah pencegahan dan jangkitan Covid-19 secara menyeluruh agar dapat mengadakan temasya tersebut,” kata mereka dalam satu kenyataan.

“Semua rakan kongsi ... sepenuhnya fokus kepada penganjuran sukan pada musim panas ini. Kami berharap kehidupan harian dapat kembali normal secepat mungkin, dan kami akan terus berusaha untuk mempersiapkan sukan yang selamat dan terjamin,” kata mereka.

Kebimbangan semakin meningkat mengenai nasib temasya itu ketika Jepun berdepan gelombang ketiga virus, dengan tinjauan menunjukkan kira-kira 80% rakyat Jepun menentang penganjuran acara tahun ini.

Sukan ini dijadualkan akan dibuka dalam tempoh lebih enam bulan, pada 23 Julai. – AFP, 22 Januari, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen