Sektor lain boleh buka tapi mengapa gantung Parlimen, soal wakil rakyat


Kamles Kumar

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dikritik kerana menggunakan pandemik Covid-19 sebagai alasan untuk terus mengekalkan jawatan walaupun jelas tidak mempunyai majoriti kukuh di Parlimen. – Gambar fail The Malaysian Insight, 23 Januari, 2021.

PENGGANTUNGAN Parlimen susulan perisytiharan darurat minggu lalu bermotifkan politik, bukan untuk membendung penularan wabak Covid-19, kata pemerhati politik dan wakil rakyat.

Mereka berkata kerajaan pimpinan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mencadangkan darurat kerana yakin Perikatan Nasional (PN) dengan majoriti tipis 109 kerusi akan tumbang jika Parlimen bersidang.

Penggantungan Parlimen juga tidak masuk akal sedangkan aktiviti perniagaan dibenarkan beroperasi tetapi dengan prosedur operasi standard (SOP) ketat, walaupun ketika kes harian Covid-19 masih mencatatkan angka empat digit, kata ahli Parlimen.

Fahmi Fadzil dari PKR berkata keputusan menggantung Parlimen begitu ketara bemotifkan politik.

“Terutama sekali apabila kilang dan tapak pembinaan dibenarkan beroperasi, masjid dan rumah ibadat dibuka, restoran juga boleh beroperasi secara bawa pulang dan penghantaran.

“Sekolah dibuka untuk murid Tingakatan Lima, mahkamah, Kabinet malah pentadbiran awam masih berfungsi,” kata ahli Parlimen Lembah Pantai itu kepada The Malaysian Insight.

Beliau juga berkata Dewan Rakyat sepatutnya dibenarkan bersidang dengan SOP ketat seperti sidang pada Disember lalu.

“Semasa sidang Dewan pada Disember, semua ahli Parlimen dan kakitangan diminta menjalani ujian saringan setiap dua minggu sekali. Dan tiada jangkitan di Parlimen. Ini menunjukkan Parlimen adalah tempat yang selamat jika langkah berja-jaga diambil,” kata Fahmi.

Senator Liew Chin Tong (DAP) pula menyelar Muhyiddin mencadangkan darurat walapun Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sudah pun dilaksanakan di seluruh negara kecuali Sarawak untuk mempertahankan kedudukannya.

“Daripada berunding dengan Umno, Muhyiddin mahu membuli Umno dalam gabungan PN sendiri dan pembangkang secara keseluruhan,” kata Liew.

Tambah beliau, meskipun darurat adalah sah dari segi undang-undang langkah tersebut memberi persepsi negatif.

Pertahan kedudukan

Pengarah pendidikan politik DAP itu berkata Muhyiddin lebih mementingkan cara untuk mengekalkan kuasa berbanding keselamatan rakyat ketika pandemik.

“Kerajaan dalam usaha untuk kekal bertahan.”

Ini dipersetujui Fahmi, berkata Muhyiddin menggunakan pandemik Covid-19 sebagai alasan untuk terus mengekalkan jawatan walaupun jelas tidak mempunyai majoriti kukuh di Parlimen.

“Kerajaan PN tidak boleh dan tidak harus menggunakan Covid-19 sebagai alasan untuk kekal berkuasa. Saya bimbang kerajaan hilang fokus, walaupun dengan persyitiharan darurat ketika ini.

“Kita lihat kesilapan dalam keputusan tertentu, seperti jangkitan Covid-19 dalam kalangan pelajar Tingkatan Lima, kemudian masalah berulang seperti capaian internet atau kekurangan peranti untuk murid mengikuti pembelajaran dalam talian,” jelasnya.

Pengarah komunikasi PKR itu juga menegaskan fungsi semak dan imbang Parlimen perlu tetap berjalan ketika darurat.

“Demokrasi Malaysia kini pincang.

“Parlimen dan Dewan Undangan Negeri mesti dibenarkan berfungsi untuk menjalankan proses semak dan imbang kepada eksekutif. 

“Perlembagaan Persekutuan mesti ditegakkan. Tanpa Parlimen, dakwaan berlaku autoritarianisme sukar diketepikan,” kata Fahmi

Felo kanan Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura Dr. Oh Ei Sun berkata rakyat dapat menerima keputusan PN menguatkuasakan PKP, tetapi perisytiharan darurat adalah melampau.

“PKP diterima dengan baik sebagai usaha untuk membendung pandemik Covid-19, dan rakyat mengeluj ia tidak cukup ketat.

“Darurat pula berbeza. Rakyat tertanya-tanya apa keperluan darurat, yang dilihat lebih bermotifkan politik untuk mengelakkan semak dan imbang ke atas kuasa eksekutif,” katanya. 

Oh berkata PN sepatutnya mencari kaedah lain termasuk meminda undang-undang semasa atau membentang akta baharu bagi memerangi wabak. – 23 Januari, 2021.  

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen