SATU pasukan bertindak khas perlu ditubuhkan segera untuk mengelakkan pelajar terus tercicir akibat pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPr), kata Pemuda PKR.
Ketua pergerakan itu Akmal Nasir berkata ini kerana data Kementerian Pendidikan sendiri menyebut, kadar keciciran meningkat dengan kadar membimbangkan pada November tahun lalu.
“(Data menyebut) peningkatan kepada 0.13 di peringkat sekolah rendah dan peningkatan daripada 1.14 peratus tahun 2019 kepada 1.26 peratus bagi sekolah menengah pada tahun 2020.
“Tanpa tindakan segera, masalah ini akan memberi kesan jangka masa panjang yang lebih parah kepada negara iaitu peningkatan terhadap jurang generasi,” katanya.
Oleh itu, Pemuda PKR menggesa kerajaan mengemukakan pelan pelaksanaan PdPr yang lebih menyeluruh dengan diselia pasukan bertindak berkenaan.
“Pasukan bertindak ini perlu melibatkan ahli parlimen dari pembangkang dan pihak-pihak berkepentingan daripada kumpulan masyarakat sivil,” katanya
Mereka juga menggesa menteri terlibat membentangkan data terkini mengenai penyertaan pelajar dalam PdPr yang kini sudah berjalan hampir setahun.
Ini memandangkan, data kementerian pada April lalu menyebut, 36.9% murid tidak memiliki peranti untuk membolehkan mereka mengikuti pembelajaran secara dalam talian.
Turut dibangkitkan bebanan yang dipikul guru pada masa ini yang menurut Pemuda PKR disebabkan bku manual PdPr dikeluarkan KPM yang tidak menyeluruh.
“Sebagai contohnya para guru diminta untuk menetapkan sendiri kaedah pentaksiran untuk menilai prestasi murid dalam sesi PdPr.
“Juga masih tidak jelas sama ada guru akan diminta untuk menghabiskan sukatan mata pelajaran seperti norma biasa atau ada silibus khas yang telah disesuaikan dengan norma pembelajaran yang baharu,” kata mereka.
Kenyataan itu timbul ketika ibu bapa meluahkan rungutan di media sosial hari ini mengenai masalah dihadapi daripada pelaksanaan PdPr bermula Isnin.
Sekolah dibuka semula untuk tahun akademik 2021 pada 20 Januari bagi pembelajaran dalam talian kecuali untuk Tingkatan Lima dan Enam yang bakal menghadapi peperiksaan utama SPM dan STPM. – Bernama, 21 Januari, 2021.
Komen