PELAJAR dijangkiti Covid-19, mereka yang mempunyai gejala, menjalani kuarantin tidak akan dibenarkan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) bulan depan, lapor New Straits Times.
Akhbar itu, yang memetik Kementerian Pendidikan berkata pelajar ini akan dibenarkan untuk mengikuti peperiksaan pada sesi lain.
Tarikh baharu akan diumumkan oleh kementerian kemudian.
Kementerian juga berkata calon yang sudah selesai menjalani tempoh kuarantin dan dibenarkan keluar dari hospital selepas menerima rawatan Covid-19 dibenarkan menduduki peperiksaan.
Dua peperiksaan utama itu ditangguhkan dua kali kerana peningkatan jumlah kes Covid-19,
Pada Jun tahun lalu, kementerian mengumumkan SPM akan ditangguhkan hingga 6 Januari 2021 sementara peperiksaan STPM akan diadakan pada 12 Ogos 2021 (Semester 2) dan 1 Mac 2021 (Semester 3).
Bagaimanapun, peperiksaan awam ditangguhkan sekali lagi susulan gelombang ketiga pandemik Covid-19 pada Oktober tahun lalu.
SPM dan STPM kini akan bermula pada 22 Februari dan 8 Mac. – 21 Januari, 2021.
Komen