-2.jpg)
HARMONI Malaysia mengikut rapat perkembangan Covid-19 di Malaysia dan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh kerajaan Malaysia.
Harmoni Malaysia menzahirkan kegusaran terhadap kenyataan Menteri Kanan Pertahanan Ismail Sabri Yaakob pada 15 Januari, 2021 yang membenarkan semua mahasiswa pulang ke kampus tanpa mewajibkan ujian saringan Covid-19.
Ini kerana keadaan kolej kediaman di kebanyakan universiti tidak membolehkan penjarakan fizikal dilakukan dengan mudah.
Kes yang berlaku seperti pelajar yang didapati positif selepas pulang ke asrama sekolah dan kolej kediaman universiti seperti di Sabah dan Pahang wajar dijadikan iktibar sewaktu pembentukan SOP semasa pembukaan universiti nanti.
Kadar kebolehjangkitan R0 di Malaysia setakat 17 Januari ialah 1.16 dan kes dijangka akan terus meningkat.
Menurut unjuran, jika R0 pada kadar 1.2, pertambahan kes dijangkakan akan meningkat kepada 5,000 kes sehari pada minggu ketiga Februari jika tiada sebarang tindakan yang berkesan dilaksanakan oleh semua pihak.
Oleh itu, Harmoni Malaysia meminta kepada kerajaan agar mewajibkan ujian saringan Covid-19 secara percuma kepada semua mahasiswa yang akan pulang ke kampus.
Inisiatif ini perlu dilakukan bagi mengelakkan penularan di kolej kediaman oleh individu yang dijangkiti Covid-19 tanpa atau belum menunjukkan sebarang gejala.
Kerajaan juga perlu membuat unjuran yang lebih baik bagi peningkatan atau penurunan kes.
Keputusan sama ada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini akan diteruskan atau tidak selepas tempoh dua minggu tidak perlu diumumkan pada hari terakhir.
Seharusnya perkara ini diputuskan lebih awal bagi memberikan ruang mahasiswa bersedia untuk pulang ke kampus dengan lebih baik disamping urusan rakyat boleh dipermudahkan.
Keputusan saat akhir yang acap kali berlaku sebelum ini ternyata merugikan banyak pihak khususnya rakyat golongan rentan.
Pengumuman Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk hanya menguji individu yang menunjukkan simptom juga merisaukan. Ini kerana penularan oleh individu tidak bergejala tidak dapat dikesan.
Perkara itu boleh menyebabkan kes yang direkodkan tidak menggambarkan realiti sebenar yang telah dijangkiti.
Sikap sambil lewa dan penetapan SOP yang tidak tepat dengan keadaan sebenar boleh berlaku jika saringan dilakukan hanya pada yang bergejala sahaja.
Kerajaan mesti melibatkan pemegang taruh yang bergerak secara langsung di lapangan dalam proses perbincangan dan pembuatan keputusan khususnya dalam aspek perangkaan SOP agar keputusan yang dilakukan benar-benar berkesan.
Banyak keputusan kerajaan sebelum ini sering berubah-ubah dalam masa singkat yang mendapat respons negatif daripada rakyat.
Ini menggambarkan kerajaan tidak memahami dengan baik permasalahan sebenar sebelum melakukan apa-apa keputusan walaupun sudah setahun kita berhadapan dengan wabak ini.
Pemimpin negara khususnya ahli politik pula mestilah bersikap lebih cermat dan bertanggungjawab dalam mematuhi SOP yang ditetapkan agar menjadi contoh yang baik kepada rakyat.
Penguatkuasaan juga perlu dilakukan secara adil dan tidak menyebelahi mana-mana pihak yang mempunyai kedudukan dan kuasa.
Harmoni Malaysia menggesa pihak kerajaan agar mengambil perhatian yang lebih serius kepada sebarang cadangan dan komentar.
Ia perlu diberi perhatian sama ada daripada parti pembangkang, kumpulan pakar, gerakan sivil dan lain-lain, selagi mana ia berasaskan fakta dan data yang berasas.
Kerajaan perlu berhenti daripada bersikap elitis dan ekslusif tetapi perlu lebih terbuka dalam menghadapi wabak ini kerana wabak ini adalah urusan kita semua – warga Malaysia. – 21 Januari, 2021.
* Usaid Asmadi ialah presiden Persatuan Belia Harmoni Malaysia.
* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.
Komen