ANGKA korban kejadian kebakaran di sebuah pusat membeli-belah di Filipina meningkat kepada 38 orang selepas menemui mayat seorang pegawai keselamatannya, kata Datuk Bandar Sara Duterte hari ini.
Pegawai itu maut ketika cuba menyelamatkan mereka yang terperangkap dalam kebakaran di NCCC Mall di Davao City pada Sabtu, kata pengedalinya.
Turut terkorban adalah 37 pekerja pusat panggilan 24 jam untuk firma penyelidikan pasaran yang berpangkalan di Amerika Syarikat, SSI yang terletak di tingkat paling atas.
Sara Duterte, anak perempuan Presiden Filipina, Rodrigo Duterte, berkata seorang pekerja SSI termasuk di antara yang terkorban walaupun mayatnya masih belum ditemui.
Presiden Duterte, yang berasal dari Davao City, bersumpah akan menyiasat punca kejadian kebakaran itu.
Kumpulan buruh berkata jumlah kematian yang tinggi menunjukkan peraturan keselamatan tidak diikuti, dakwaan yang ditolak pihak pengurusan pusat membeli belah itu.
Jurucakap NCCC Mall, Thea Padua dalam satu kenyataan hari ini menafikan dakwaan itu dengan berkata ia dilengkapi segala peralatan yang diperlukan bagi kejadian kecemasan seperti kebakaran dan mematuhi sepenuhnya piawaian buruh.
Punca kebakaran masih belum dipastikan. Pihak jabatan kehakiman dan buruh serta bomba bandar itu sudah mengarahkan siasatan berasingan. – AFP, 27 Disember, 2017.
Komen