.jpg)
KENYATAAN Presiden PAS Abdul Hadi Awang semalam jelas menyatakan darurat yang diisytiharkan oleh Perdana Menteri Muhyiddin Yassin bukanlah darurat kesihatan sebaliknya darurat politik.
Kenyataan yang dikeluarkan oleh ahli Parlimen Marang itu sepeti dilaporkan Malaysia Gazette mengesahkan kerajaan hari ini tiada majoriti di Parlimen.
Saya juga ingin memetik kenyataan Ahli Parlimen Pasir Gudang Hassan Abdul Karim bahawa pengumuman Muhyiddin mengenai penggantungan Parlimen salah dan tidak berperlembagaan.
Jelasnya, proklamasi darurat dan penggantungan Parlimen adalah dua perkara yang berbeza.
Ini kerana Yang di-Pertuan Agong hanya bersetuju mengeluarkan satu proklamasi darurat di bawah Perkara 150(1) Perlembagaan Persekutuan setelah berpuas hati dengan nasihat perdana menteri dan Kabinet, katanya.
Oleh itu Hassan berpadangan proklamasi darurat hanya setakat itu sahaja, dan tidak menyentuh penggantungan Parlimen Malaysia.
Atas sebab itu juga, pada hemat saya tiada sebab Parlimen tidak dibenarkan bersidang untuk membahaskan perkara yang membabitkan rakyat.
Negara lain juga menguatkuasa darurat kesihatan dalam memerangi Covid-19 tetapi Parlimen mereka tetap berjalan seperti biasa.
Malaysia menjadi negara pertama tidak membenarkan Parlimen bersidang jika melakukannya dan ini mencemarkan demokrasi negara.
Jika benar Muhyiddin prihatin tentang rakyat mungkin beliau tidak menggunakan wang RM35 juta hanya untuk membaik pulih tiga buah dewan, sebaliknya menggunakan wang tersebut untuk membantu mangsa banjir di Johor atau fokus memperkasakan fasiliti kesihatan negara yang kian tenat akibat pandemik ini.
Biarlah pihak kerajaan dan pembangkang sama-sama bekerja demi rakyat Malaysia kerana bukankah parti pembangkang juga bersetuju untuk berganding bahu demi memerangi Covid-19?
Jadilah seperti New Zealand, pihak kerajaan dan pembangkang berganding bahu dalam proses semak imbang di Parlimen.
Jangan nafikan demokrasi di negara ini hanya kerana perbezaan lebih-lebih lagi ketika rakyat memerlukan wakil rakyat mereka bersuara di dewan mulia tersebut.
Demokrasi negara ini harus dipertahankan. – 20 Januari, 2021.
* Yuslaini Azmi, ketua Srikandi PKR Terengganu.
* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.
Komen