Aplikasi Geotrees bantu Malaysia hadapi perubahan iklim


SENARIO banjir dan rejim Monsun Timur Laut sangat sinonim di negara kita. Rejim monsun timur laut yang bertiup dari bulan November ke Mac setiap tahun membawa hujan lebat ke negeri di pantai timur semenanjung Malaysia dan barat Sabah dan Sarawak.

Sepanjang Januari 2021, jumlah hujan di beberapa kawasan di Terengganu, Pahang dan Timur Johor dijangka sebanyak 250mm hingga 500mm.

Ini mengakibatkan banjir besar yang menenggelamkan sebahagian besar penempatan penduduk khususnya di kawasan rendah.

Perubahan iklim dunia menjadi salah satu faktor penyebab kepada senario banjir di Malaysia khususnya di kawasan tebing sungai dan persisiran pantai. Hubung kait antara fenomena perubahan iklim, kenaikan aras laut dan senario banjir amat rapat.

Perubahan iklim berlaku dalam jangka masa panjang (beberapa dekad dan abad) disebabkan oleh peningkatan gas rumah hijau di lapisan atmosfera bumi memerangkap suhu panas.

Ini mengakibatkan glasier di kutub mencair lalu mengakibatkan kenaikan aras laut. Ia juga boleh mengakibatkan kemarau dan haba melampau.

Menurut kajian saintifik yang dijalankan oleh penyelidik di Universiti Teknologi Malaysia dan laporan dari beberapa agensi tempatan dan antarabangsa, kadar kenaikan aras laut di Pantai Timur Semenanjung Malaysia adalah pada kadar 3.27mm setahun.

Angka ini lebih tinggi daripada kadar global iaitu 1.7-3.1mm setahun. Dengan trend peningkatan ini, kenaikan aras laut dijangka mencecah sehingga 0.517m pada 2100, manakala suhu permukaan mencecah 36 Celcius pada 2095.

Perubahan iklim dan kenaikan aras laut memberikan impak besar kepada sosio-ekonomi komuniti di pesisir pantai. Ia boleh mengubah ekosistem di pesisir pantai dan laut yang menjadi sumber ekonomi masyarakat setempat.

Ramai mengetahui bahawa pokok berperanan dalam mengawal suhu permukaan dunia.

Hutan hujan tropika dianggar mampu menyimpan hampir 40% daripada keseluruhan jumlah karbon dunia, dengan kadar penyerapan 1 hingga 3 Gigatan karbon setiap tahun.

Menyedari hakikat tanggungjawab kepada komuniti dan masyarakat, beberapa ahli Kumpulan Penyelidikan Tropical Resource Mapping dari Universiti Teknologi Malaysia giat menjalankan aktiviti penanaman pokok sejak 2017 untuk meminimakan impak terhadap perubahan iklim di Malaysia.

Menerusi inovasi aplikasi Geotrees, ia tidak lagi hanya terhad kepada aktiviti penanaman pokok, malah diperluaskan kepada pemantauan tumbesaran pokok melalui konsep pokok angkat melalui rekod yang dimasukkan oleh sukarelawan secara digital.

Penglibatan bersama komuniti ini adalah inspirasi daripada program penjagaan pokok bersama komuniti kejiranan di negara maju yang dilaksanakan secara serampang dua mata.

Program ini membantu melengkapkan data inventori pokok yang berguna dalam penilaian kawasan hijau dan perancangan stok karbon sesebuah kawasan selain memupuk semangat kebersamaan memelihara pokok di kawasan kejiranan.

Pokok yang ditanam di label menggunakan kod QR, dan direkodkan bacaan nama pokok, ketinggian, ukur lilit dalam pengkalan data sistem maklumat geografi (GIS).

Penyelenggaraan pokok seperti aktiviti penyiraman, pembajaan dan perumpaian dijalankan dalam sela waktu tertentu dan direkodkan dalam aplikasi Geotrees untuk memantau tumbesaran pokok.

Perekodan ini dapat membantu menghasilkan data inventori pokok di lapangan dan sebagai data sampingan kepada data imej satelit dalam penilaian kawasan hijau dan penyerapan karbon sesebuah kawasan.

Sehingga kini, aktiviti penanaman pokok menggunakan aplikasi Geotrees telah dilaksanakan melalui kempen bersama komuniti universiti, sekolah, industri dan masyarakat setempat melalui platform Mytreevolution, Grow Rimba, UTM 1 Pelajar 1 Pokok dan Infaq Warisan.

Aktiviti kebersamaan dalam memulihara kawasan hijau selari dengan program penghijauan Malaysia melalui kempen Penanaman 100 Juta Pokok untuk tempoh 5 tahun (2021-2025).

Kempen yang dilancarkan oleh perdana menteri pada 5 Januari 2021 tersebut merupakan agenda nasional dalam usaha Malaysia menghadapi perubahan iklim.

Ia dijalankan dengan memelihara dan memulihara kawasan hijau yang dijangka akan menyumbang di antara 30 juta tan penyerapan karbon di kawasan bandar hingga 85 juta tan di kawasan hutan dan luar bandar. – 20 Januari, 2021.

* Nurul Hazrina Idris dan Nurul Hawani Idris pengkaji di Jabatan Geoinformasi, Fakulti Alam Bina dan Ukur, Universiti Teknologi Malaysia.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen