Pejuang hantar surat rayu Agong pertimbang semula darurat


Pejuang menghantar surat rayuan kepada Yang di-Pertuan Agong agar mempertimbangkan semula perintah darurat yang diumumkan baru-baru ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 20 Januari, 2021.

PEJUANG mengemukakan rayuan kepada Yang di-Pertuan Agong untuk mempertimbangkan semula pengisytiharan darurat, kata setiausaha agung parti Marzuki Yahya

Beliau memberitahu Malaysiakini, surat rayuan sudah diserahkan kepada istana petang semalam.

“Kami menyembah perkenan memohon budi bicara Tuanku untuk mempertimbang semula Proklamasi Darurat serta memaklumkan pada baginda beberapa cadangan lain yang boleh digunapakai dalam memerangi situasi Covid-19 tanpa darurat,” katanya seperti ditulis oleh portal berita itu.

Marzuki berkata surat itu ditandatangani oleh Ahli Parlimen Pejuang Dr Mahathir Mohamad (Langkawi), Mukhriz Mahathir (Jerlun), Amiruddin Hamzah (Kubang Pasu) dan Shahruddin Md Salleh (Sri Gading).

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengumumkan rakyat Malaysia berada di bawah darurat minggu lalu, sehari selepas mengenakan perintah kawana pergerakan (PKP) di sebahagian besar negara.

Muhyiddin berkata Parlimen akan digantung sementara pilihan raya akan diadakan sebaik sahaja wabak itu berakhir.

Beliau menafikan tindakan itu adalah usaha untuk terus berkuasa selepas hilang sokongan majoriti di Parlimen. 

Ia sebaliknya, untuk memberi kerajaan lebih banyak kuasa untuk mengendalikan krisis kesihatan, katanya.

Pada Ahad, 14 Januari, Presiden PKR Anwar Ibrahim berkata pembangkang merancang mencabar pengisytiharan darurat di mahkamah, selepas mengumumkan beliau akan merayu kepada Agong agar mempertahankan Perlembagaan Persekutuan dan rakyat terhadap penyalahgunaan kuasa kerajaan.

Anwar berkata minggu lalu beliau menghantar memo kepada ahli Parlimen untuk mendesak Agong membatalkan darurat dan menggesa Parlimen bersidang secepat mungkin.

Pemimpin pembangkang berkata keputusan Muhyiddin tidak sah kerana perdana menteri tidak mendapat sokongan Parlimen.

Perintah darurat akan berlangsung sehingga Ogos. – 20 Januari, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen